Pelakon dan penyanyi, Noki mengakui masih dalam proses mengasah bakat lakonan meskipun namanya kini semakin mendapat perhatian dalam industri seni.

Artikel Berkaitan: Saya Nak Gandingan Yang Boleh Bincang, Bukan Ikut Kepala Sendiri’ – Noki Selektif Pilih Rakan Lakon

Artikel Berkaitan: Noki Dedah Tak Lalui Zaman Sekolah Seperti Pelajar Lain – ‘Saya Nak Hidup Sendiri, Tak Mahu Balik Rumah’

Masih belajar

Ketika ditemui OhBulan!, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 31, berkata setiap individu tidak terus mahir dalam sesuatu perkara, sebaliknya perlu melalui proses pembelajaran untuk memperbaiki diri.

Tiada siapa yang terus mahir dalam membuat sesuatu perkara yang baharu.

Sama macam bayi baru lahir, perlu belajar berjalan, saya juga masih belajar dan akan terus memperbaiki kemahiran lakonan.

Tambah Noki, dia menghargai sokongan daripada penonton yang sentiasa memberikan semangat, manakala pandangan daripada mereka yang kurang menyenanginya diterima dengan hati terbuka sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.

Kepada penonton yang sokong saya, terima kasih.

Bagi yang tidak suka, saya hormati pandangan awak semua, kerana saya memang tidak mampu memuaskan hati semua orang.

Noki berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran trailer filem ‘Tiket Sehala’ di Tomaz Pickleball Club, Subang Jaya.

Dalam pada itu, Noki mengakui sebelum ini dia mudah berasa kecewa apabila menerima kritikan, namun kini lebih matang dalam menghadapinya dengan menjadikan setiap teguran sebagai dorongan untuk memperbaiki diri.

Kalau dulu saya mudah rasa down.

Tetapi, sekarang, saya sedar kita tidak boleh puaskan hati semua orang.

Saya sentiasa berusaha menjadi lebih baik dengan menghadiri kelas lakonan dan dapatkan tunjuk ajar daripada pelakon yang lebih berpengalaman.

Proses belajar tidak akan berhenti.

Walaupun suatu hari nanti saya sudah mahir, saya tetap akan terus menimba ilmu.

Dalam masa sama, Noki turut mengakui banyak menerima bantuan daripada rakan seindustri, Fikry Ibrahim yang sering berkongsi ilmu serta memberi tunjuk ajar bagi membantunya memahami skrip dan menghayati watak dengan lebih mendalam.

Fikry Ibrahim dah lebih 15 tahun dalam bidang lakonan.

Dia banyak bantu saya, termasuk membuat demonstrasi untuk memahami skrip dan menghayati watak dengan lebih baik.