Dahulu, seseorang penyanyi boleh tamat promosi album, berehat beberapa bulan malah bertahun-tahun sebelum kembali dengan karya baharu. Tempoh ‘menghilang’ itu dianggap sebahagian daripada kitaran kerjaya.

Contohnya, penyanyi terkenal antarabangsa, Adele pernah mengambil masa beberapa tahun antara album 25 pada 2015 dan 30 pada 2021. Manakala, Rihanna pula tidak mengeluarkan album studio baharu selepas Anti pada 2016, tetapi namanya kekal menjadi bahan perbualan kerana peminat terus menantikan perkembangan muziknya.

Hari ini, keadaannya berbeza. Tak kemas kini Instagram beberapa minggu, peminat mula bertanya. Tak muncul di acara, timbul teori. Lama tak buat TikTok atau siaran langsung, ada pula yang menganggap artis sedang berehat, bergaduh dengan pengurusan atau bersedia untuk comeback.

Deloitte menggunakan istilah ‘always-on fandom’ dalam laporan 2026 Digital Media Trends, dengan dapatan peminat hari ini mahu terus berhubung dengan artis, rancangan dan francais yang mereka minati walaupun ketika tiada karya baharu dilancarkan.

Artikel Berkaitan: Adakah Media Sosial Menghakis Misteri Seorang Selebriti?

Artikel Berkaitan: Bukan Semua Mahu Kehidupan Dijadikan Kandungan! Ini 5 Artis Yang Tegas Menjaga Privasi

‘Off Season’ Artis Semakin Hilang

Dahulu, promosi biasanya mempunyai kitaran yang jelas. Tetapi media sosial menjadikan hubungan itu berterusan.

Menurut Deloitte, 55% peminat mengatakan mereka mengikuti sesuatu fandom merentasi pelbagai platform, termasuk media sosial, penstriman, barangan rasmi dan acara langsung. Angka itu meningkat kepada sekitar 70% dalam kalangan Gen Z dan milenial.

Maksudnya, peminat tidak lagi berhubung dengan artis hanya ketika album atau drama sedang dipromosikan. Mereka mahukan kandungan di antara dua projek itu juga.

Dalam K-pop, fenomena ini dapat dilihat melalui kumpulan seperti BTS, BLACKPINK dan Stray Kids. Walaupun tiada album baharu, peminat masih mengikuti kandungan individu, siaran langsung, dokumentari, barangan rasmi dan kemas kini media sosial setiap anggota.

Diam Sekarang Pun Boleh Jadi ‘Berita’

Apabila peminat terbiasa melihat artis hampir setiap hari, ketiadaan mereka sendiri boleh mencetuskan perbualan.

Tiada kemas kini di Instagram Story, TikTok, tiada kemunculan acara, hingga akhirnya muncul soalan ‘kemanakah selebriti kesayangan mereka menghilang?’

Malah, Deloitte mendapati sekitar 52% peminat menemui kandungan hiburan baharu melalui media sosial, menunjukkan betapa pentingnya platform tersebut dalam hubungan antara industri dan peminat.

Contoh paling jelas ialah Rihanna. Walaupun sudah bertahun-tahun tidak mengeluarkan album baharu, setiap kemunculan, temu bual atau petunjuk kecil tentang muzik baharunya terus menjadi berita. Diamnya bukan menghilangkan perhatian, sebaliknya menjadikan setiap perkembangan lebih besar.

Artis Kini Bukan Sekadar Perlu Berkarya, Tetapi Perlu ‘Maintain Presence’

Tekanan paling besar mungkin bukan menghasilkan muzik atau lakonan setiap bulan. Tetapi adalah memastikan nama mereka sentiasa berada dalam radar.

The Guardian pada April 2026 melaporkan bagaimana sebahagian penggiat seni semakin tertekan dengan keperluan menghasilkan video pendek dan kandungan media sosial semata-mata untuk mengejar algoritma.

Malah pemuzik Yarni memberitahu pada 2025, dia menghabiskan sekitar empat jam sehari menghasilkan video untuk mempromosikan muziknya, sehingga masa bermain instrumen sendiri semakin berkurang.

Untuk memastikan orang mendengar muzik, artis mungkin terpaksa menghabiskan semakin banyak masa melakukan perkara selain muzik.

Penyanyi seperti Charli XCX dan Sabrina Carpenter menunjukkan bagaimana kandungan pendek, trend TikTok dan interaksi digital boleh membantu lagu kekal berada dalam perbualan. Namun, kejayaan itu turut mencipta jangkaan artis perlu sentiasa menghasilkan kandungan baharu, bukan sekadar karya muzik.

@sabrinacarpenter

Thank you for coming to Sabrinawood♥️

♬ original sound – mia🐾

Peminat Mahu Rasa ‘Dekat’, Tetapi Di Mana Sempadannya?

Media sosial juga mengubah hubungan peminat dengan selebriti.Dahulu, kehidupan artis banyak diketahui melalui wawancara majalah, rancangan televisyen atau laporan hiburan.

Hari ini, peminat boleh melihat bilik tidur mereka, makanan mereka, keluarga mereka, percutian mereka malah membaca pemikiran mereka melalui satu Instagram Story.

Hubungan itu terasa lebih peribadi. Tetapi ia sebenarnya tetap hubungan antara orang yang kebanyakannya tidak pernah mengenali satu sama lain.

Di Malaysia, artis seperti Mira Filzah, Nabila Razali dan Aina Abdul juga sering berdepan perhatian berterusan terhadap kehidupan peribadi, penampilan, hubungan dan aktiviti media sosial mereka. Setiap perubahan atau tempoh senyap boleh mengundang soalan daripada peminat dan portal hiburan.

@therealmfmirafilzah

Kinda missing that frozen dirty latte in Shanghai. One of the best coffees I’ve ever had. 🤍 📍Mahlkönig Cubic3 #dirtylatte #Shanghai

♬ honeybee – Olivia Rodrigo

Kes itu membuka persoalan lebih besar ‘adakah menjadi selebriti bermaksud seseorang perlu sentiasa tersedia kepada peminat?’

Fandom Kini Terlalu Bernilai Untuk Dibiarkan ‘Tidur’

Ada sebab industri begitu berminat memastikan hubungan artis-peminat terus hidup. Peminat membawa wang.

Kajian Deloitte 2026 mendapati kira-kira 80% responden mengenal pasti diri mereka sebagai peminat sekurang-kurangnya satu kategori hiburan. Peminat juga menghabiskan lebih banyak masa dengan media dan hiburan serta lebih banyak wang untuk perkhidmatan penstriman berbanding bukan peminat.

Sebab itu kita semakin melihat kandungan seperti, behind the scenes, vlog artis, siaran langsung, teaser berbulan sebelum projek keluar dan banyak lagi.

Kumpulan seperti BTS dan BLACKPINK menunjukkan bagaimana fandom boleh berkembang menjadi ekosistem komersial yang merangkumi muzik, konsert, dokumentari, barangan rasmi, permainan, kandungan digital dan kerjasama jenama.

Terlalu Banyak ‘Content’ Juga Boleh Membunuh Misteri

Ironinya, satu perkara yang pernah membantu membina aura bintang ialah ketiadaan. Semakin sukar melihat seseorang artis, semakin besar nilai setiap kemunculannya.

Hari ini pula, ada selebriti yang boleh dilihat sebelum sarapan di Instagram, tengah hari di TikTok, petang dalam podcast dan malam melalui siaran langsung.

Comedian Stewart Lee, ketika bercakap mengenai tekanan menghasilkan kandungan media sosial, memberitahu The Guardian sesetengah karya sebenarnya mendapat manfaat apabila seseorang artis masih mempunyai sedikit ‘air of mystery’.

Taylor Swift ialah contoh artis yang berjaya mengawal pendedahan dirinya secara strategik. Walaupun sangat aktif ketika era album dan jelajah, beliau tidak semestinya berkongsi setiap aspek kehidupan peribadi. Sebaliknya, kemunculan dan petunjuk yang terhad sering mencetuskan analisis besar-besaran dalam kalangan peminat.

Ia membawa kepada persoalan menarik untuk industri, ‘adakah terlalu mudah mendapat akses kepada artis akhirnya mengurangkan aura seorang bintang?’

Masa Depan Mungkin Bukan ‘Sentiasa Online’, Tetapi Tahu Bila Perlu Muncul

Tidak semua artis perlu menghilang setahun. Tetapi mereka juga tidak semestinya perlu memberi perkembangan hidup setiap hari. Cabaran generasi selebriti sekarang adalah mencari titik tengah antara ‘visibility’ dan ‘overexposure’.

Deloitte melihat fandom sebagai aset penting kerana peminat mahu terus terlibat walaupun antara dua projek besar. Namun itu tidak semestinya bermaksud artis sendiri perlu berada di depan kamera 24 jam sehari. Kandungan arkib, komuniti peminat, barangan rasmi, behind-the-scenes atau aktiviti jenama juga boleh mengekalkan hubungan tanpa menjadikan kehidupan peribadi artis sebagai kandungan tanpa henti.

Menghilang juga perlu menjadi strategi. Adele membuktikan artis masih boleh berehat panjang jika karya, identiti dan hubungan dengan peminat cukup kukuh.

Rihanna pula menunjukkan tempoh senyap boleh mengekalkan rasa ingin tahu, walaupun ia turut menguji kesabaran peminat.

Taylor Swift memperlihatkan bagaimana kemunculan yang dirancang dan pendedahan yang terkawal boleh menjadikan setiap perkembangan lebih bernilai.

Dalam industri yang sentiasa bergerak, artis bukan sahaja bersaing untuk menghasilkan lagu atau drama terbaik. Mereka bersaing untuk mendapatkan perhatian dalam satu feed yang tidak pernah berhenti.

Sebab itu dahulu artis boleh senyap setahun dan kembali seolah-olah tiada apa berlaku. Sekarang? Sebulan tidak memuat naik apa-apa pun mungkin sudah cukup membuat peminat bertanya, ‘dia pergi mana?’.

Dan mungkin itulah perubahan terbesar dunia selebriti hari ini. Populariti bukan lagi hanya tentang bagaimana seseorang artis mencuri perhatian ketika muncul, tetapi bagaimana mereka memastikan perhatian itu tidak hilang ketika mereka tiada.

Sumber: The Guardian, Deloitte