Hanya kerana dilihat kembali ceria, pelakon Zizie Izette menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap dirinya sudah melupakan kesedihan selepas pemergian suami tercinta, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Rudin.

Artikel Berkaitan: Zizie Izette Kongsi Detik Cemas Anak Hilang Di KLCC – ‘Selalu Headcount, Jangan Anggap Semua Tengah Ikut’

Rawat kesedihan

Menerusi hantaran di Threads, Zizie, 47, menjelaskan, dirinya masih mengumpul kekuatan untuk bangkit daripada fasa duka dan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.

Bila orang kata, “kejapnya dia sedih,” saya hanya tersenyum. Hampir setahun mungkin kelihatan singkat pada pandangan orang luar, tetapi hanya saya yang tahu betapa panjangnya sesetengah hari yang saya lalui.

Saya mengambil banyak keberanian untuk bangkit dan kembali merasakan diri saya seperti dahulu.

Tambah Zizie, senyuman yang dipamerkan bukan bermakna rasa kehilangan itu sudah hilang, sebaliknya dia memilih untuk terus menjalani kehidupan meskipun masih menyimpan duka dalam hati.

Melihat saya tersenyum bukan bermakna saya sudah berhenti berduka. Ia cuma bermakna saya memilih untuk tidak berhenti menjalani kehidupan. Duka dan bahagia boleh wujud dalam hati yang sama.

Untuk rekod, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Moktar pada 2009 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata selain turut membesarkan dua anak angkat.

Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber: Threads