Pelakon, Zizie Izette menjelaskan bahawa dia hanya mengendalikan satu akaun media sosial rasmi iaitu Instagram susulan timbul kekeliruan berhubung kewujudan beberapa akaun menggunakan namanya di platform lain.

Artikel Berkaitan: ‘Awak Terlalu Baik, Saya Masih Tak Percaya Awak Dah Tak Ada’ – Zizie Izette

Artikel Berkaitan: Zizie Izette Akui Hilang Arah, Sifatkan Bung Moktar Sebagai Suami & Ayah Yang Baik – ‘Izinkan Saya Bersedih’

Hanya ada IG

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Zizie, 47, menegaskan dia tidak mempunyai akaun TikTok manakala Facebook miliknya pula sudah lama tidak aktif.

Susulan itu, aktres tersebut berkata, apa-apa video atau hantaran yang memaparkan dirinya bersama suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tular di platform lain bukan dimuat naik oleh dirinya.

Untuk pengetahuan semua, inilah (Instagram) satu-satunya akaun aktif saya. Saya tiada akaun TikTok dan Facebook saya sudah lama tidak digunakan.

Jika anda ternampak video atau hantaran saya bersama arwah suami di platform lain, itu bukan daripada saya.

Zizie turut mengucapkan penghargaan atas doa serta sokongan yang diterima, namun menegaskan penjelasan itu perlu dibuat bagi mengelakkan salah faham.

Saya tahu ramai berniat baik dan saya sangat menghargai kasih sayang yang dikirimkan. Ini sekadar penjelasan supaya tiada kekeliruan. Terima kasih atas sokongan semua.

Pada Jumaat lalu, Allahyarham Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menghembuskan nafas terakhir akibat kegagalan buah pinggang serta jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.

Jenazah Allahyarham kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas sekitar jam 2.10 petang pada hari yang sama.

Zizie dan arwah mendirikan rumah tangga pada 2009 dan pasangan itu dikurniakan tiga anak kandung selain dua anak angkat.

Sumber: Instagram