
Penerbit dan pengarah Erma Fatima menempelak tindakan segelintir netizen yang mengecamnya selepas bergambar bersama penulis novel Kaisar iaitu Mustaqim Jiwa, di Festival Novel Malaysia baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Reza Rahadian ‘Sidai’ Erma Fatima Dua Bulan – ‘Watak Salafi Agak Sukar, Mencabar Untuk Saya’
Artikel Berkaitan: Erma Fatima Tak Sanggup Sebut Tajuk Drama Baharu, ‘Dia Perempuan Sialan’ – ‘Kedengaran Agak Kasar
Erma Fatima ‘backup’ penulis novel Kaisar

Ketika ditemui OhBulan!, Erma atau nama lengkapnya Fatimah Rahmad Ali, 58, menyifatkan Mustaqim seorang yang baik dan orang ramai tidak sepatutnya menilai pemuda itu hanya berdasarkan karya penulisannya.
Budak itu akhlaknya baik. Tak ada pula saya tengok akhlak dia buruk. Siapa kita nak hakimi karya dia buruk atau tidak?
Mungkin ada mesej yang dia cuba nak sampaikan dalam novel itu. Jadi, berhentilah netizen yang kerjanya hanya mengutuk.
Setidak-tidaknya dia tulis novel, bukan tulis komen yang buruk tentang orang di media sosial.
Dia lebih bijak daripada orang yang buat perkara itu (komen di media sosial). Mereka tak tahu apa-apa tapi tangan gatal nak menulis komen. Lebih baik jadi manusia yang berfikiran waras sedikit.
Erma berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Tahlil Tun Hasmah anjuran Datin Seri Umie Aida yang berlangsung di kediamannya di Kuala Lumpur pada malam Selasa.
‘Budak itu tiada dosa apa’

Mengulas lanjut, Erma menjelaskan bahawa acara Festival Novel Malaysia itu terbuka kepada orang ramai dan Mustaqim hadir ke sesi tersebut untuk membentangkan karyanya.
Budak itu tiada dosa apa. Dia menulis novel dan datang untuk pitch novel dia kepada saya. Siapa pun saya buka untuk pitch novel. Dia mungkin boleh jadi filem kalau bagus, boleh jadi drama.
Ada ramai yang datang pitch pada hari itu, kenapa pergi serang dia? Apa dosa budak itu? Kau sudah baca ke novel dia yang nak kata novel dia tak berjenis? Itulah manusia, menghukum saja.
Ditanya mengenai kemungkinan novel Kaisar diadaptasi ke layar, Erma berkata sebagai pengkarya dia berhak menentukan sendiri karya pilihannya tanpa perlu mendapatkan persetujuan orang ramai.
Kalau saya nak ambil pun, saya punya suka. Siapa mereka untuk menghalang saya daripada mengambil novel Kaisar sebagai drama atau filem. Itu hak saya!
Sebagai pengkarya, saya ada hak untuk memilih karya siapa yang saya nak buat. Mereka nak tengok, tengoklah. Tak nak tengok, sudah.
Sebab kalau saya keluarkan drama pun, saya tak minta tuntutan apa-apa daripada mereka. Kalau rasa tak suka, jangan tengok atau kutuk.
Dalam pada itu, Erma berkata dia tidak mengambil hati dengan kecaman yang dilemparkan terhadapnya di media sosial, malah memilih untuk tidak melayan komen berkenaan.
Sebelum ini, nama Erma menjadi bualan dalam kalangan pengguna Threads yang meluahkan kebimbangan jika pengarah dan penerbit itu memilih novel Kaisar sebagai salah satu karya terbaharunya.








