Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, George Town pada Selasa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap anak majikannya di sebuah pusat beli-belah, Khamis lalu.

Artikel Berkaitan: Mekanik Direman, Siasatan Kes Rogol & Samun Remaja Sedang Beriadah

Warga emas rogol anak majikan

Foto: Sinar Harian

Memetik Sinar Harian, Chuah Cheng Seng, 71, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Juraidah Abbas.

Saya faham (kedua-dua pertuduhan). Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Chuah didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di dalam tandas lelaki di tingkat dua, Pusat Beli-belah Gurney Plaza, George Town, kira-kira jam 4.30 petang pada 1 Oktober lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa dengan memasukkan kemaluan ke dalam mulut mangsa.

Kesalahan itu didakwa berlaku di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap pertuduhan.

Anuarul Hakim turut memohon beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 haribulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi.

Bagaimanapun, peguam K Mahendran memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya tidak bekerja selain menghidap penyakit diabetes.

Juraidah kemudian menetapkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut membenarkan semua syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan. Kes ditangguhkan sehingga 16 November depan bagi tujuan serahan dokumen.

Sumber: Sinar Harian