Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi kata-kata semangat buat atlet lontar peluru para negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli di Instagram. Menurut Azizulhasni, dia pernah melalui situasi yang sama dengan Ziyad apabila kemenangannya di Sukan Komanwel New Delhi pada tahun 2010 turut dibatalkan.
Pertama sekali saya nak ucap tahniah!
Tahniah Ziyad, sabar Ziyad. Pertamanya saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada rakan saya Ziyad Zolkefli @ziyadzolkefli di atas prestasi cemerlang memecahkan rekod dunia yang di tonjolkan di Sukan Paralimpik Tokyo. Memang sudah di atas kertas yang Ziyad adalah juara malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah. Namun saya berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini, sudah tentu ianya bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima. Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad kerana saya sendiri pernah di tarik kemenangan pingat Emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu.
Menerusi posting yang dimuat naik oleh Azizulhasni, dia berharap Ziyad bersabar dan akur dengan keputusan rayuan hari ini. Ujar Azizul, dia pernah melalui detik yang sama apabila kemenangannya di Sukan Komanwel dibatalkan. Tambah Azizul, perkara yang berlaku merupakan realiti dalam dunia sukan.
Pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ianya adalah kerana kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan. Dan jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ianya memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan.
Cuba terima qada dan qadar
Ziyad, memang pahit untuk ditelan. Akan tetapi nasihat saya sebagai rakan atlet, cuba untuk terima qada dan qadar, jangan berputus asa dan ‘keep moving forward’. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin ada hikmah besar disebaliknya. Kami rakyat Malaysia semua tahu yang Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah di rampas secara terang-terangan.
Di akhir posting, Azizul berharap Ziyad menerima qada dan qadar yang telah ditetapkan. Azizul turut menyatakan bahawa Ziyad merupakan juara sebenar dan pingat yang diraih itu jelas dirampas secara terang-terangan oleh negara lain.
Terdahulu, Ziyad, Jordi Patricio (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum acara lontar peluru itu dimulakan. Susulan daripada itu, pasukan Ukraine dipercayai telah melakukan protes sehingga kemenangan yang diraih oleh Ziyad dibatalkan.
Sumber: Azizulhasni Awang