Luahan pelakon veteran Fauziah Nawi mengenai tindakan produksi mengambil pelakon belum lengkap vaksinasi untuk ke set penggambaran turut mendapat perhatian pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor.
Artikel Berkaitan: Fauziah Nawi Tegur Pelakon ‘Antivaksin’ Jangan Berlagak Bila Dapat Job – ‘Kalau KKM & MKN Tahu Macam Mana?’
Jangan susahkan orang lain
Menurut Rosyam, 54, penggiat seni sepatutnya mempunyai sikap bertanggungjawab dan patuh dengan kelonggaran yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Kata pemilik nama Mohamed Noor Shamsuddin, dia tidak marah dengan individu yang enggan mengambil vaksin namun berharap agar menarik diri daripada tawaran tersebut bagi mengelakkan menyusahkan anak seni yang lain.
Kalau dia tak nak vaksin atau anti vaksin, saya harap mereka tarik diri.. Jangan menyusahkan orang lain sebab semua orang nak bekerja.
Kita tak marah kalau dia tak nak vaksin.. tapi jangan susahkan orang lain, kita semua dalam industri ini mahu bekerja dengan happy.
Bantu cegah penularan Covid-19
Dalam pada itu, pelakon filem KL Gangster 2 menegaskan ramai yang terkesan disebabkan pandemik ini justeru dia mengharapkan kerjasama bagi mengekang penularan virus Covid-19.
Ramai berdepan masalah kehidupan dan kesusahan sepanjang pandemik, bila ada peluang untuk jana semula ekonomi saya berharap semua orang patuh. Kita semua kena bersama-sama bantu mengekang penularan virus ini.
Rosyam ditemui ketika sidang media TV9 Janji Happy yang diadakan secara maya pada Khamis.
Mulai 13 Septembar ini, Rosyam bakal mengendalikan program kapsul bual bicara Sembang Viral yang turut dihoskan oleh pengacara terkenal, Ahmad Fedtri Yahya.
Sembang Viral yang membincangkan isu-isu yang dikongsi netizen di laman sosial selama 10 minit itu akan ditayang setiap hari pukul 7.30 malam di TV9.