Baru-baru ini, viral sebuah rakaman video di mana seorang peniaga di Pantai Siring, Melaka didakwa bertindak menutup kedai makan miliknya apabila Datuk Seri Najib mahu singgah makan di kedai tersebut. Susulan daripada itu, Najib dan rombongannya dilihat beralih ke kedai sebelah selepas dimaklumkan kedai tersebut sudah ditutup.
Terbaru, pemilik kedai makan tersebut tampil dan menjawab spekulasi orang ramai berhubung video viral berkenaan. Menurut Haslinda Musa, dia menepis semua fitnah berhubung tidak memberi layanan yang baik terhadap Najib ketika hadir di kedai makan miliknya.
Meniaga seperti biasa
Menurut Haslinda, video viral tersebut telah mengundang fitnah dan boleh merosakkan nama kedainya. Bercerita kepada umum, Haslinda memberitahu bahawa air laut tengah pasang pada hari kejadian dan semua meja makan yang berada di bawah pokok terpaksa dialihkan. Sebagai pemilik kedai makan, Haslinda menyusun semua meja masuk ke dalam kedai semula dan ada di antara meja tersebut diletakkan di seberang sungai.
Masa hari kejadian tu, kami buka kedai pukul 8 pagi macam biasa. Kami terpaksa buka meja untuk orang awam sebelum Bossku datang. Tapi Bossku datang awal 10 minit sebelum jadual yang sepatutnya beliau tiba. Kami jadi kelam kabut dan tak sempat bersihkan kedai. Tak sempat kemas meja dan sapu lantai.
Jelas Haslinda lagi, sewaktu mereka sedang kemas meja makan dan menyapu lantai kedai, Najib sedang beramah mesra dengan para pelanggan yang berada di seberang sungai. Justeru itu, Haslinda menegaskan bahawa video viral tersebut ternyata fitnah dan tidak betul. Haslinda berterima kasih kepada Najib kerana sudi singgah di kedai makan miliknya meskipun situasi pada masa tersebut dipercayai sedikit kelam kabut.
Kami meniaga warung biasa saja, tapi kami rasa terharu bila vvip datang. Saya jemput semua datang dan saya akan layan semua pelanggan saya dengan baik.
Dalam pada itu, Haslinda turut memberitahu bahawa dia baru sahaja bersalin dan masih dalam proses berpantang. Meskipun baru lapan hari bersalin, Haslinda meluahkan rasa teruja untuk berjumpa dengan Najib buat kali pertama.
Saya dah biasa difitnah
Menerusi ruangan komen, Datuk Seri Najib memberikan ucapan terima kasih buat Haslinda kerana memberi layanan mesra dan hidangan yang sedap kepadanya pada waktu itu. Ujar Najib lagi, dia sudah biasa difitnah. Oleh itu, beliau sangat berterima kasih kepada Haslinda kerana memberi penjelasan yang amat baik buat semua pihak.