Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin menerusi sidang media mengenai perkembangan semasa varian Omicron dan Covid-19 di Malaysia sebentar tadi telah mengumumkan beberapa sekatan perjalanan sementara.
Varian Omicron
Kredit foto: Suara.com
Varian Omicron ini disyaki telah berkembang semasa jangkitan kronik dalam individu yang mempunyai sistem imun yang rendah. Jelasnya lagi, varian ini mempunyai banyak mutasi, termasuk 26 sehingga 32 mutasi di spike protein.
Tambahnya lagi, varian ini juga mempunyai 10 mutasi di protein yang melekat kepada ACE2 receptor berbanding varian yang lain di mana VOC Omicron membolehkan virus masuk ke dalam sel badan. Disebabkan itu, varian ini mampu menular dengan kadar yang lebih pantas berbanding varian lain sekali gus berkemungkinan besar ianya lebih mudah merebak.
Sebagai perbandingan, varian Beta mempunyai 3 mutasi dan varian Delta mempunyai 2 mutasi
Ujarnya lagi, walaupun masih tiada kes VOC Omicron di negara Malaysia namun bukti awal telah menunjukkan varian ini juga mempunyai risiko yang mana mampu menjangkiti semula.
Bukti awal menunjukkan varian ini juga berkemungkinan menyebabkan risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula (reinfection) berbanding VOC lain
Tangguh Vaccinated Travel Lane
Kredit foto: News Straits Times
Menerusi kenyataan itu, Khairy turut mengulas mengenai sekatan perjalanan sementara antaranya sekatan penerbangan terus atau transit dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.
Sekatan juga akan dikenakan terhadap pengembara bukan warganegara Malaysia terutamanya dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlakunya penularan itu. Manakala sebaliknya bagi warganegara Malaysia dan juga pemegang pas lawatan jangka panjang perlu menjalani kuarantin dan ujian pengesanan COVID-19 selama tiga hari sebelum berlepas dan kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di Malaysia.
Di samping itu, Khairy turut mengulas lebih lanjut mengenai pengembara Warganegara Malaysia yang merancang melawat negara yang mempunyai penularan VOC Omicron tersebut tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka. Sekali gus, bersetuju untuk menangguh perancangan untuk mewujudkan Vaccinated Travel Lane (VTL) dengan negara tersebut tetapi tidak bagi VTL Udara Malaysia dan Singapura.
Pengembara yang menyertai Vaccinated Travel Lane Udara Malaysia dan Singapura digalakkan untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri pada hari ke tiga dan ke tujuh selepas ketibaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia turut menegaskan untuk tidak mengambil mudah mengenai perkara ini dan menghadiri janji temu bagi mereka yang layak menerima dos penggalak tersebut kerana dengan kewujudan VOC Omicron, pengambilan dos penggalak sangat digalakkan.
Sumber: KKMPutrajaya