Ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pembantu rumah dan pengasuh, seorang wanita dari Indonesia ini menjadi ‘kaya’ dalam sekelip mata selepas majikannya meninggalkan hadiah berjumlah hampir RM300k kepadanya sebelum meninggal dunia.
Pelakon terkenal Taiwan meninggal dunia
Memetik laporan Kompas, Chen Sung-Young yang merupakan seorang pelakon terkenal Taiwan itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember lalu ketika usianya 80 tahun. Difahamkan, mendiang Chen Sung-Young telah menceburkan diri dalam bidang lakonan sekitar tahun 1970 bahkan pernah memenangi beberapa anugerah dan penghargaan sepanjang kerjayanya.
Namun sekitar tahun 2000, mendiang Chen Sung-Young memilih untuk bersara dari bidang lakonan berikutan dengan keadaan kesihatannya yang semakin merosot. Pada 2006, mendiang menderita strok dan menghidap ulser perut pula pada 2009. Pada tahun 2016 pula, mendiang menghidap penyakit edema pulmonari.
Bagi hadiah berjumlah RM300k
Difahamakan, mendiang Chen Sung-Young tidak berkahwin dan tidak memiliki anak. Oleh itu, mendiang telah mengupah seorang wanita dari Indonesia iaitu Yuli sebagai pembantu rumah untuk membantu menguruskan keperluan hariannya. Malah, dalam sebuah temubual sebelum ini, mendiang menjelaskan bahawa dia dan Yuli sangat rapat malah dia juga telah menganggap wanita itu seperti anaknya sendiri.
Menurut sumber, sebelum meninggal dunia, Chen berjanji akan memberikan yang terbaik untuk Yuli kerana keikhlasan wanita itu menjaganya dengan baik selama ini. Chen berbuat demikian supaya Yuli dapat membeli tanah dan membina perniagaan apabila dia pulang ke Indonesia. Mendiang telah mewasiatkan hadiah berjumlah hampir RM300k kepada Yuli.
Difahamkan, sebelum ini juga, mendiang Chen pernah memberikan sejumlah perhiasan emas bernilai 1.2 juta TWD (RM180,000) kepada Yuli.
Sumber: Kompas