Misteri kehilangan seorang gadis berusia 19 tahun lebih seminggu akhirnya terjawab selepas ditemui selamat di sebuah ruang bawah tanah di sebuah rumah di Utah, Amerika Syarikat.
Dilarikan sejauh 140km
Foto: Madlyen Allen (mangsa)
Memetik laporan CNN, mangsa yang dikenali dengan nama Madelyn Allen dilaporkan hilang selepas dia keluar dari asrama di Snow College, Utah pada 13 Disember 2021 yang lalu. Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kali terakhir Allen dilihat memakai jaket dan skirt sebelum meninggalkan bangunan asrama.
Berdasarkan siasatan awal, Allen dan suspek, Brent Brown dipercayai berkenalan melalui ruang perbualan dalam talian. Mereka kemudian merancang untuk bertemu di Ephariam, Utah. Namun sebaliknya yang berlaku apabila bertemu, suspek yang berusia 39 tahun bertindak agresif dengan mengangkat Allen ke dalam kereta dan merampas serta mematikan telefon bimbit gadis itu.
Mangsa kemudian dilarikan dan diculik sejauh 140 kilometer sebelum dikurung di ruang bawah tanah sebuah rumah yang juga merupakan tempat penyimpanan arang. Pada keesokan harinya iaitu 14 Disember 2021, suspek membenarkan mangsa membuat satu pesanan terakhir kepada ibu bapanya. Dalam pesanan tersebut, mangsa dikatakan hanya menulis ‘i love you’ buat kedua orang tuanya.
Kurung mangsa di ruang bawah tanah
Foto: Brent Brown (suspek)
Namun selepas daripada itu, Allen langsung tidak dapat dihubungi malah pesanan ringkas juga tidak dibalas. Ibu bapa Allen mula bimbang dan mereka segera menghubungi rangkaian Verizon untuk mengenalpasti lokasi terakhir anak gadis mereka itu. Tidak terhenti di situ, mereka kemudian membuat laporan polis.
Selepas berita kehilangan Allen tersebar di media, suspek bertindak memusnahkan telefon bimbit mangsa. Pihak polis mula menjalankan siasatan untuk menjejaki keberadaan mangsa dan apabila tiba di sebuah rumah, mereka ternampak kelibat seorang gadis berambut perang di ruang bawah tanah dalam keadaan ketakutan.
Polis kemudian mengetuk pintu rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan tetapi suspek tidak membenarkan pasukan polis masuk tanpa kebenaran malah dia juga menafikan bahawa ada individu lain di rumah terbabit.
Mangsa berjaya diselamatkan
Foto: Madelyn Allen (mangsa)
Pihak polis mula curiga dan mereka membuat keputusan untuk menghubungi ibu bapa suspek yang merupakan pemilik rumah berkenaan. Selepas menerima kebenaran, polis segera ke ruang bawah tanah dan sangkaan mereka tepat sekali.
Mereka menemui Allen dalam keadaan berbogel selain tubuh badannya dipenuhi dengan luka. Rupa-rupanya sepanjang tempoh tersebut, Allen telah diseksa dan diikat malah dia turut dicekik, mulut dan hidungnya ditutup sehingga dia tidak boleh bernafas. Lebih mengejutkan apabila mengetahui Allen turut dirogol beberapa kali oleh suspek.
Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Suspek telah ditahan dan akan dijatuhi hukuman kerana menghalang tugas pasukan polis, kes penculikan dan merogol.