Pertama kali melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-36, penyanyi, Marsha Milan meluahkan rasa syukur dan gembira kerana dapat bertanding dengan finalis-finalis yang sangat berbakat dan hebat. Seperti finalis yang lain, Marsha turut berkongsi mengenai persediaannya bagi membawakan lagu ‘Cinta’ di pentas AJL36 nanti!
Semua ada kehebatan masing-masing
Menurut Marsha, lagu ‘Cinta’ ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim ini mempunyai potensi tersendiri. Bahkan, setiap bait lirik tersebut mengingatkannya tentang diri sendiri. Sebagai seorang penyanyi, Marsha memberitahu akan melakukan sebaik yang mungkin membawakan lagu tersebut meskipun ini pentas pertamanya.
Disoal mengenai siapakah persaingannya dalam AJL36, Marsha memberitahu semua finalis mempunyai kehebatan masing-masing namun akan cuba sedaya upaya memberi saingan sengit.
Menerusi sidang media semalam, teka-teki mengenai penyanyi ganti lagu ‘Boneka’ masih menjadi persoalan. Menurut team AJL36, mereka bakal mendedahkan mengenai hal tersebut nanti selepas mendapat keputusan daripada pihak Ernie.
Setakat ini, teka teki mengenai hal berkenaan masih belum boleh dijawab oleh mana-mana pihak dan akan diberitahu kelak kepada umum.