Pelawak Tauke Jambu dan empat rakannya didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin.
Mengaku tidak bersalah
Gambar sekadar hiasan
Bagaimanapun, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri, 46; Muhamad Azman Johar, 28; Brandon Cheong Kai Szern, 25, serta dua wanita, Salimah Nasuha Gusti Hassan, 29 dan Lee Kim Yoon, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat bersih 0.37 gram, di 15-01 Menara Up, Jalan Puchong di sini, pada 2.40 pagi, 10 April lalu.
Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Rayu jaminan rendah
Tauke yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan pendapatannya terjejas dan ini adalah kesalahan pertamanya manakala empat tertuduh lain turut merayu jaminan rendah.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,700 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Sumber: Bernama