Sekadar gambar hiasan
Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan polis selepas didakwa meliwat anak perempuannya yang berusia empat tahun. Insiden tersebut dipercayai berlaku semalam di sebuah rumah di Arau, Perlis.
Liwat anak berusia 4 tahun
Sekadar gambar hiasan
Memetik laporan Harian Metro, penahanan terhadap suspek dilakukan selepas pihak polis menerima satu laporan daripada nenek mangsa yang tinggal bersebelahan rumah suspek. Menurut Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, nenek mangsa (ibu mertua suspek) hanya menyedari mengenai insiden itu selepas cucunya (mangsa) mengadu sakit pada bahagian ‘belakang’.
Bukan itu sahaja, nenek mangsa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas melihat perubahan sikap mangsa yang semakin muram dan pendiam.
Terdahulu, nenek mangsa yang melihat cucunya sedang bermain di halaman rumah memanggil mangsa untuk ke kediamannya selepas melihat keadaan cucunya itu yang muram serta serba tidak kena. Mangsa kemudian mengadu kepada neneknya bahawa dia berasa sakit di bahagian ‘belakang’.
Mangsa jadi pendiam
Sekadar gambar hiasan
Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku ketika dia berdua bersama bapanya di rumah. Selepas mengetahui perkara itu, nenek mangsa tampil membuat laporan di balai polis. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk pemeriksaan.
Sebelum ini, nenek mangsa sudah pun curiga dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan mangsa sejak Julai tahun lalu kerana perubahan sikap mangsa yang menjadi pendiam selain enggan bercakap.
Difahamkan, mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Kakak dan abangnya masing-masing berusia 10 dan enam tahun. Hasil siasatan awal mendapati, meskipun suspek dan ibu mertuanya (nenek mangsa) tinggal bersebelahan rumah tetapi mereka tidak bertegur sapa disebabkan sikap suspek yang dikatakan panas baran serta malas bekerja.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil semakan mendapati, lelaki terbabit turut mempunyai rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro