Siapa sangka, kembar yang berada dalam sebuah kantung ibu yang sama ‘terpisah’ sejak lahir akhirnya disatukan semula. Bagaikan ‘dibuai mimpi’, mungkin itulah perasaan yang boleh diluahkan oleh Muhammad Haziq Ikhwan selepas bertemu dengan adik kembarnya.
Kembar terpisah sejak umur 3 hari
Sekitar bulan Julai tahun lalu, seorang pemuda yang dikenali dengan nama Harraz Maulana ada memuat naik satu video di TikTok meminta bantuan orang ramai mencari kembar adiknya Muhammad Haziq Ikhwan iaitu Muhammad Haziq Iskandar. Menurut lelaki ini, perkara tersebut mula tercetus selepas Allahyarham ibunya meninggalkan amanah terakhir untuk menjejaki anak lelakinya itu.
Kami ada empat beradik, aku yang nombor dua. Arwah mama ada lahirkan kembar bawah aku. Seorang (Muhammad Haziq Ikhwan) mama aku jaga, seorang lagi (Muhammad Haziq Iskandar) bagi dekat orang. Lepas bagi dekat orang, terus tak contact sampai hari ini dah 15 tahun.
Namun siapa sangka, selepas hampir setahun, akhirnya Harraz Maulana berjaya menemui kembar adiknya itu dan mereka akhirnya dapat bersatu kembali. Menurut sumber, mereka berjaya menjejaki Muhammad Haziq Iskandar atas bantuan dan jasa baik seorang individu yang dikenali dengan nama Baem Ahmad.
Akhirnya empat beradik bersatu
Menurut Baem Ahmad, individu yang dicari oleh Harraz Maulana itu merupakan anak angkat keluarganya. Dia yang baru sahaja menyedari kewujudan video tersebut membuat keputusan menghantar adik angkatnya (Muhammad Haziq Iskandar) ke pangkuan keluarga sebenar.
Sekarang kita berada di Kuala Kangsar nak hantar adik aku jumpa kembar dia. Diorang ni terpisah sejak umur 3 hari, selama 16 tahun tak pernah jumpa sekali pun.
Menerusi video lain kelihatan keempat-empat beradik ini telah pergi ke tanah perkuburan menziarahi Allahyarham ibu tercinta. Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan netizen mengakui sebak melihat momen pertemuan adik beradik ini. Mereka juga tumpang gembira melihat keempat empat mereka dapat dipertemukan kembali.
Video
Momen pertemuan
Sumber: Harraz Maulana, Baem Ahmad