Sebelum ini, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris meluahkan hasrat untuk menjemput penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai tetamu kenamaannya pada konsert Malai Solo yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Oktober ini. Menurut Noraniza Idris, ini merupakan konsert terakhir yang dianjurkan oleh dirinya sendiri.
Terbaru, jemputan Noraniza Idris atau lebih mesra disapa Kak Ani kepada rakan seperjuangannya itu mendapat maklum balas positif.
Disambut dengan rasa terima kasih dan kesyukuran
Menerusi laporan Astro Awani, Tokti menerima pelawaan tersebut dengan rasa terima kasih dan penuh kesyukuran. Tambah Tokti, sekiranya tiada sebarang halangan dan keadaan mengizinkan, beliau sedia untuk hadir dan menonton konsert Noraniza Idris di Istana Budaya.
Siti berterima kasih dan bersyukur dengan niat murni, ingatan dan juga doa Kak Ani (Noraniza) semasa Siti di Mekah tempoh hari. Bagi Siti, sekiranya tidak ada apa-apa halangan, Insya-Allah Siti hadir sebagai tetamu, tiada masalah.
Sementara itu, Tokti turut menitipkan doa agar segala urusan dan perancangan Noraniza untuk menjayakan konsertnya akan dipermudahkan.
Jangan berhenti menyanyi
Cuma harapan Siti ialah janganlah Kak Ani berhenti menyanyi. Siti rasa ramai orang sangat menghargai Kak Ani sebagai pejuang lagu-lagu irama tradisional. Tapi Siti faham masing-masing ada matlamat dalam kehidupan dan kerjaya. Apapun, Siti doakan yang terbaik buat Kak Ani.
Terdahulu, hubungan Siti dan Noraniza pernah disifatkan ‘dingin’ namun, kedua-dua mereka bersikap profesional dan tidak pernah mencetuskan sebarang provakasi. Bahkan, peminat turut menghormati pendirian mereka berdua.
Sumber: Astro Awani