Semalam, negara dikejutkan dengan berita pemergian pelakon senior, Aripah Damanhuri. Aripah disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami masalah jangkitan kuman dalam paru-paru.
Tak sempat nak cakap apa-apa
Di Facebook, adik kepada Allahyarham iaitu Normah Damanhuri berkongsi kisah sebelum arwah kakaknya meninggal dunia. Menurut Normah, kakaknya jatuh sakit secara tiba-tiba dan tidak boleh bercakap.
Saya dapat tahu tiba-tiba dia sakit. Kami semua pergi melawat dia. Masa tu dia tak bercakap dah. Tak sempat nak cakap apa-apa. Malam tu anak-anak dia bawa pi hospital. Dia dah jadi keras. Pandang satu tempat saja.
Anak Normah iaitu Norlidiya Rosli turut berkongsi kenangan terakhir bersama mak ciknya itu. Ujar Lidiya, arwah mak ciknya mahu makan kuih manis beberapa hari sebelum meninggal dunia. Lebih menyedihkan, arwah memeluknya agak lama pada waktu itu. Tambah Lidiya, dia dapat merasakan pelukan itu lain daripada sebelum ini.
Ambil berat dan beri nasihat
Menurut Arshad Damanhuri pula, pemergian kakaknya itu merupakan satu kehilangan yang sangat besar. Ini kerana, kakaknya selalu mengambil berat dan menjaga mereka adik beradik. Bukan itu sahaja, arwah sering memberi nasihat mengikut pandangannya kepada semua ahli keluarga demi kebaikan bersama.
Menerusi video yang dikongsikan, anak arwah iaitu Zurina memberitahu ibunya dijangkiti Covid-19 pada bulan Mac yang lalu. Sejak daripada itu, arwah tidak mempunyai selera makan dan kelihatan letih.
Mak tak lalu makan dan makin lama dia asyik terbaring saja. Lemah betul dia masa tu dan tak boleh bangun. Suatu hari badan dia menggigil dan kami panggil doktor. Doktor kata kena bawa mak pi hospital. Doktor buat pemeriksaan dan kuman telah merebak dalam badan, jantung, paru-paru, buah pinggang dan otak. Doktor cuba usaha macam-macam sampai tebuk dekat leher sebab tak boleh bernafas tanpa oksigen.
Sumber: Fais Al Hajari