Sekadar gambar hiasan
Seorang penarik kereta ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat diserang dan ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki di Taman Eng Ann, Klang.
Maut ditetak sekumpulan lelaki
Foto: Kosmo
Memetik laporan Kosmo, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung pergaduhan yang berlaku. Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, setibanya pihak polis di lokasi, mereka mendapati satu mayat lelaki berusia 47 tahun berada dalam keadaan berlumuran darah selain terdapat kesan luka di seluruh badannya.
Siasatan mendapati mangsa dipercayai telah diserang dan ditetak dengan parang oleh beberapa lelaki. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat luka kecederaan di bahagian badan, tangan kanan, tangan kiri dan kepala.
Tambahnya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk berhubung motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Susulan daripada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Sumber: Kosmo