Gara-gara buntu mencari wang untuk majlis perkahwinan keduanya, seorang lelaki berusia 46 tahun dilaporkan maut akibat minum racun tikus di atas kubur isterinya.
Tak cukup duit buat majlis kahwin
Memetik laporan Detik, mangsa yang dikenali dengan nama Andri Budi Santoso berstatus duda sejak isterinya meninggal dunia akibat Covid-19 pada 20 Julai 2021 yang lalu. Namun baru-baru ini, mangsa yang bekerja sebagai penjual kasut di Mojokerto, Indoensia berhasrat untuk mengahwini seorang janda pada 3 Julai 2022 namun dia dipercayai menghadapi masalah kewangan.
Menurut anak mangsa iaitu Bima, bakal pengantin perempuan meminta Rp 17 juta (RM5,040) untuk melangsungkan majlis resepsi perkahwinan tersebut. Hal ini secara tidak langsung membuatkan mangsa mengalami tekanan akibat desakan tersebut.
Buntu kerana tidak mempunyai wang. Wang yang ada pula akan digunakan untuk modal perniagaan. Pihak perempuan pula sudah mendesak untuk membuat majlis besar-besaran dengan meminta wang yang banyak.
Bercerita dengan lebih lanjut, Bima mendakwa bapanya itu menunjukkan sikap yang agak berbeza berbanding sebelum ini. Dia dilihat menjadi lebih pendiam bagaimanapun dia dikatakan enggan menceritakan masalah yang dihadapinya kepada anak-anak. Menurut Bima lagi, mereka adik-beradik hanya tahu bapanya itu menghadapi kesukaran untuk melangsungkan perkahwinan namun tidak sangka hal tersebut membuatkan dia nekad membunuh diri.
Mayat mangsa atas kubur isteri
Sebelum membunuh diri, mangsa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anaknya ketika hendak pergi menziarahi bakal isterinya pada hari Isnin 20 Jun lalu. Mangsa kemudian telah pulang ke rumah dan keluar semula selepas menukar pakaian. Ketika itu arwah bapanya pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Tidak lama selepas itu, mereka menerima berita bahawa si bapa disahkan meninggal dunia di atas kubur arwah isterinya.
Penjaga Tanah Perkuburan Islam di Kampung Gedeg memberitahu melihat mangsa menziarahi kubur isterinya sekitar jam 5 petang. Kira-kira 30 minit kemudian, penjaga tanah kubur tersebut telah kembali ke kawasan tanah perkuburan untuk menghidupkan lampu di situ. Dia kemudiannya mendapati bahawa mangsa sudah pun meninggal dunia di atas kubur isterinya.
Ketika siasatan, polis telah menemui 1 paket ubat nyamuk, 2 bungkus bekas racun tikus, 1 paket sisa ubat nyamuk, gunting, selipar serta bekas muntah mangsa di tempat kejadian.
Susulan daripada itu, polis membuat kesimpulan bahawa kematian mangsa berpunca daripada meminum racun tikus bercampur racun serangga di kubur isterinya. Polis juga turut menyatakan bahawa mangsa telah membunuh diri akibat terdesak untuk mencari duit bagi membiayai perkahwinannya.
Sumber: Detik