Seorang jururawat dilaporkan maut selepas terjatuh dari platform permainan ‘zip line’ yang memiliki ketinggian 70 kaki. Lebih meruntun hati apabila detik kematian wanita itu disaksikan oleh teman lelakinya yang turut berada di lokasi kejadian.
Jururawat maut terjatuh dari ketinggian 70kaki
Memetik laporan Daily Star, mangsa yang dikenali dengan nama Yasmili Araujo telah mengunjungi taman tema air di Brazil bersama-sama teman lelaki dan rakan-rakannya. Sebelum kejadian, jururawat yang berusia 23 tahun ini dikatakan telah naik ke bahagian atas platform permainan ‘zip line’ tanpa memakai sebarang peralatan keselamatan.
Namun siapa sangka, Yasmili tiba-tiba ‘hilang’ melalui lubang platform permainan taman tema air berkenaan. Mangsa kemudian diberi bantuan kecemasan oleh pihak bomba sebelum dikejarkan ke hospital oleh pasukan paramedik untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan akibat serangan jantung. Difahamkan, taman tema tersebut telah ditutup sehingga siasatan mengenai insiden itu selesai. Menurut laporan, struktur permainan tersebut dipercayai baru sahaja dipasang pada waktu pagi sebelum kejadian tragis itu berlaku. Siasatan lanjut berhubung kes ini masih giat dijalankan.
Sumber: Daily Star