Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah peribahasa paling sesuai menggambarkan situasi yang dilalui penduduk di Baling, Kedah selepas beberapa kampung dilanda kepala air serta banjir kilat sehingga mengakibatkan beberapa buah rumah musnah di bawa arus deras. Malah insiden tersebut juga telah meragut beberapa nyawa.
‘Aku ingat cucu aku dah mati!’
Menerusi perkongsian Ustazah Asma’ Harun di Facebook, seorang warga emas, Puan Aminah meluahkan rasa syukur apabila mengetahui cucu kesayangannya yang disangkakan telah meninggal dunia akibat dihanyutkan banjir sebenarnya masih hidup.
Ya Allah, aku ingat cucu aku dah mati. Aku ingat cucu aku dah mati!
Difahamkan, ketika kejadian Puan Aminah atau lebih mesra dengan panggilan Tok Aminah sedang menjaga cucu lelakinya yang terlantar atas katil akibat demam. Tidak lama kemudian, rumahnya dalam sekelip mata dinaiki air dan tidak sampai lima minit, air sudah sampai ke paras pinggang. Tanpa diduga, kejadian tersebut telah menghayutkan remaja berkenaan sebelum dia dilaporkan ‘hilang’ selama dua hari.
Puan Aminah terpaksa berpaut di tiang luar rumah dalam keadaan kudratnya yang sangat terbatas. Bila anaknya tiba, perkara pertama beliau minta ialah sehelai kain untuk menutup aurat di bahagian kepala dengan sempurna. SubhanAllah.
Sangat menyayat hati waktu tim sedang santuni beliau, tiba-tiba cucu yang disangka telah mati hanyut itu pegang bahu beliau dengan lembut dari belakang sambil sebut perlahan dengan nada sebak, ‘tok’. Sesaat Puan Aminah toleh ke belakang, terus beliau rangkul cucunya itu dalam pelukan erat sambil menangis teresak kedua-duanya.
Dah buat persiapan kematian
Wanita berusia 75 tahun itu meluahkan rasa syukur terhadap Allah S.W.T kerana menyelamatkan cucunya daripada bencana tersebut. Tok Aminah juga memaklumkan dirinya telah membuat persiapan bagi menghadapi kematian termasuklah menyediakan wang simpanan serta beberapa helai kelengkapan kain kafan untuk pengurusan jenazahnya kelak.
Semasa banjir memasuki rumahnya, bukan sedikit kehilangan yang terpaksa ditanggung, bahkan anak saudaranya juga hampir kehilangan nyawa bila air deras datang, wanita tersebut tak dapat selamatkan diri, tapi terpaksa berpaut pada tiang rumah. Saat air semakin meninggi, beliau dihanyutkan ke pokok rambutan belakang rumah untuk berpaut.
Baru saja nak berehat di pokok tersebut rupanya ada ular kapak sedang melingkar di dahan. Akibat terkejut sekali lagi beliau dihanyutkan sehingga dapat berpijak di atas bumbung sebuah kereta yang tenggelam lalu selamatkan diri di atas bumbung sebuah rumah sehingga malam.
Menjengah pada ruangan komen, rata-rata netizen turut berasa sebak melihat perkongsian tersebut. Malah, mereka juga sempat menitipkan doa agar segala urusan dipermudah serta berterima kasih kepada pihak yang memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun