Di Pakistan, seorang remaja perempuan selamat menjalani pembedahan selepas lehernya bengkok pada kedudukan 90 darjah. Afsheen Gul, sebelum ini terpaksa menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan keadaan leher sebegitu selain turut menghidap palsi serebrum.
Rawatan sebelum ini tidak berjaya
Menerusi laporan BBC, ibu bapa Afsheen menyangka keadaan anak mereka akan menjadi lebih baik untuk jangka masa akan datang. Namun, sangkaan itu salah apabila keadaan anak mereka berubah menjadi lebih teruk. Disebabkan tidak mempunyai wang untuk membawa Afsheen mendapatkan rawatan, ibu bapanya cuba pelbagai rawatan alternatif.
Ibunya Jameelan dan abangnya Mohammad Yaqoob Kumbar telah melakukan segala-galanya untuk membantu Afsheen daripada memakaikan remaja itu dengan pakaian, memberinya makan hingga untuk ke tandas. Tetapi mereka bergelut untuk hidup kerana hanya bergantung kepada gaji Jameelan iaitu 6,000 rupee bersamaan RM334.57 setahun sebagai tukang cuci.
Menurut pakar bedah tulang belakang, Dr Rajagopalan Krishnan dari Hospital Apollo, beliau telah mendiagnosis Afsheen dengan Atlanto-axial rotatory dislocation (AARD) iaitu ketidakstabilan putaran tulang belakang serviks. Pasukan perubatan pada mulanya memberi Afsheen tidak lebih daripada 50 peratus peluang untuk bertahan dalam prosedur itu. Berkat sumbangan orang ramai dari seluruh dunia, mereka berjaya mengumpul RM116,736 untuk proses pembedahan berkenaan.
Beri perkhidmatan percuma
Dr Rajagopalan yang bekerja untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom selama 15 tahun sebelum kembali ke India akhirnya bertemu dengan Afsheen tahun lalu. Selepas berbual dengan keluarga remaja itu, dia memutuskan untuk memberikan perkhidmatannya secara percuma.
Selepas bertemu dengannya, jelas kemungkinan (remaja) akan mati dalam jangka pendek atau sederhana jika tidak dirawat. Ujian menunjukkan ia adalah salah satu kes paling mencabar yang pernah saya lihat dalam kerjaya saya, kemungkinan besar kes pertama seperti ini di dunia.
Difahamkan, Afsheen selamat menjalani pembedahan itu pada Mac lalu di Hospital Apollo di Delhi. Empat bulan kemudian, remaja itu sudah boleh berjalan dan perkembangannya setiap seminggu akan dipantau Dr Rajagopalan menerusi Skype.
Sumber: BBC