Foto: Sekadar gambar hiasan
Seorang wanita berdepan detik cemas apabila disamun dan dicabul seorang lelaki di sebuah kuarters penjawat awam di Putrajaya, semalam.
Diekori dari tempat letak kereta
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, kejadian tersebut berlaku pada 5.30 petang semalam ketika wanita berusia 30-an itu berjalan menuju ke rumahnya. Tambah Asmadi, mangsa mendakwa diekori seorang lelaki tidak dikenali dari tempat letak kereta sehingga ke koridor aras sembilan berdekatan rumah mangsa. Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek menolak badan mangsa ke arah dinding dan merampas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri melalui laluan tangga.
Mangsa kemudian mengejar suspek sehingga aras dua sebelum suspek sekali lagi mendekati mangsa dan merampas telefon bimbit iPhone 8, selain mencabul mangsa.
Ujar Asmadi lagi, mangsa sempat menumbuk suspek di bahagian pipi kanan dan menjerit meminta tolong, sebelum suspek melarikan diri selepas jeritan wanita itu didengari penghuni. Mangsa yang berstatus bujang mendakwa wang tunai berjumlah RM300 di dalam beg tangannya, turut dilarikan suspek. Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek, malah tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Berdasarkan keterangan mangsa, suspek berambut pendek, berkulit gelap dan berbadan berisi selain berketinggian kurang lima kaki (kira-kira 1.5 meter) serta berbaju-T warna putih dan berseluar trek hitam. Mangsa masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian yang berlaku dan usaha memburu suspek sedang dilakukan melalui kaedah fotofit.
Sumber: Harian Metro