Majlis perkahwinan merupakan satu momen bahagia yang dinanti-dinantikan oleh setiap bakal pengantin malah ianya akan menjadi satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Namun lain pula yang dilalui wanita ini apabila hari bahagianya bertukar menjadi episod paling memalukan dalam hidup selepas ditinggalkan bakal suami pada majlis perkahwinannya.
Pengantin tinggal bakal isteri
Memetik laporan daripada Oddity Central, pengantin perempuan, Lamia Al-Labawi dari Tunisia ini dipercayai ditinggalkan bakal suami hanya kerana ibu pengantin lelaki tidak menyukai penampilan Lamia. Difahamkan, pasangan ini sudah empat tahun menjalinkan hubungan dan mereka akhirnya membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Namun, sepanjang perkenalan, ibu pengantin lelaki tidak pernah berjumpa Lamia secara bersemuka sebaliknya hanya melihat wajah bakal menantunya itu menerusi gambar sahaja. Menurut sumber, wanita terbabit dikatakan hanya melihat Lamia buat kali pertama di majlis berkenaan tetapi lain pula yang jadinya apabila dia akui kecewa dengan penampilan bakal menantunya yang dikatakan tidak menarik untuk mengahwini anaknya.
Pengantin dihina pendek, hodoh
Tidak cukup dengan itu, ibu pengantin lelaki kemudian meminta anak lelakinya itu meninggalkan Lamia dan membatalkan perkahwinan kerana menurutnya Lamia terlalu pendek dan hodoh. Lebih mengejutkan para tetamu apabila pengantin lelaki tersebut langsung tidak mempertahankan Lamia sebaliknya dia menyebelahi ibunya dan terus meninggalkan bakal isterinya itu di majlis tersebut.
Difahamkan, Lamia merupakan anak yatim piatu dan telah menghabiskan banyak wang untuk mengadakan majlis berkenaan. Kisah itu tersebar di media sosial di mana Lamia mendapat sokongan daripada netizen.
Sumber: Oddity Central