Dua beradik perempuan yang berasal dari Arab Saudi ditemui maut di sebuah flat di Sydney, Australia. Lebih mengejutkan, kedua-dua mereka dipercayai sudah meninggal dunia sejak sebulan yang lalu.
Mayat reput dalam rumah
Foto: Dailymail Australia
Menerusi laporan Metro UK, pihak polis tidak dapat mengesahkan punca sebenar dua beradik perempuan itu meninggal dunia. Mayat Asra Abdullah Alsehli, 24 dan Amaal Abdullah Alsehli, 23 ditemukan terbaring di flat di kawasan Canterbury pada 7 Jun lalu. Kegagalan mereka membayar sewa rumah membuatkan pasukan kebajikan telah melakukan pemeriksaan di kediaman tersebut.
Menurut polis, mereka terkejut apabila menemui dua mayat yang sudah mereput di dalam rumah itu. Tambah polis, tiada sebarang tanda pencerobohan berlaku di rumah dua beradik itu dan tiada punca yang jelas dikaitkan dengan kematian mereka. Terdahulu, sebuah portal mendedahkan dua beradik itu berasal dari Arab Saudi. Konsulat Arab Saudi di Sydney dilaporkan turut membantu siasatan polis susulan kematian tragis itu.
Dua beradik itu juga dikatakan sangat jarang dilihat di kediaman mereka. Tiada siapa yang pada mulanya menyedari apa-apa yang tidak kena di bangunan tersebut sehinggalah mereka ditemukan meninggal dunia. Setakat ini, kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: Metro UK