Seorang wanita di Thailand mengaku bersalah menembak dan membunuh teman lelakinya di hadapan seorang sami kerana tidak tahan menjadi mangsa penderaan.
Jadi mangsa dera dan buli
Menerusi laporan The Thaiger, Tharinya, 40, menembak teman lelakinya, Supornchai beberapa kali di bahagian dada dan perut ketika mangsa sedang menawarkan makanan kepada seorang sami di hadapan kedainya di Pasar Si Moom Mueng, wilayah Pathum Thani, dekat Bangkok.
Berikutan daripada itu, pihak polis telah dipanggil ke lokasi kejadian dan menahan wanita tersebut. Pihak polis turut merampas sepucuk pistol beserta peluru yang digunakan oleh Tharinya. Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai dua kesan tembakan di perut dan dua lagi di bahagian dada.
Menurut Tharinya, dia dan teman lelakinya telah menjalin hubungan selama empat tahun tetapi belum berkahwin dan tidak mempunyai anak. Dia mengaku menembak teman lelakinya kerana tidak tahan sering didera dan dibuli. Lelaki itu bahkan mengugutnya pada hari dia ditembak.
Tembak depan sami
Ujar Tharinya lagi, dia mengaku ingin membunuh diri menggunakan pistol yang sama tetapi seorang wanita Laos berusia 27 tahun yang bekerja di kedai itu merampas senjata tersebut daripada tangannya sebelum dia sempat berbuat sedemikian. Wanita Laos itu mendedahkan bahawa Supornchai ditembak di hadapan seorang sami ketika sedang menawarkan makanan kepadanya.
Setakat ini, polis belum mendakwa Tharinya tetapi mengikut Seksyen 288 Akta Kesalahan Menyebabkan Kematian, sesiapa yang membunuh orang lain akan dihukum mati atau dipenjarakan selama 15 hingga 20 tahun. Tharinya juga mungkin menghadapi pertuduhan tambahan Seksyen 289 Akta Kesalahan Menyebabkan Kematian, yang membawa hukuman mati kerana dia merancang pembunuhan itu sebelum melakukannya.
Sumber: The Thaiger