Angkara cemburu, seorang lelaki bertindak menarik teman wanitanya untuk bersama-sama terjun dari sebuah tebing sebelum mereka disahkan meninggal dunia, lapor Daily Star.
‘Kalau nak mati, mati sama-sama’
Dalam satu kejadian yang berlaku 6 Ogos lalu, Selcuk Cetiner, 41 tahun, serta teman wanitanya Mehlika Derici, 35 tahun, difahamkan sedang menyambut hari lahir rakan mereka di sebuah restoran di Turki.
Pasangan bercinta itu bersama dengan rakan mereka, Merve dan kekasihnya, Arda Tolunay kemudian pergi ke Asiklar Tepesi, sebuah lokasi yang popular, juga dikenali sebagai Bukit Kekasih.
Namun, suasana yang romantik pada malam itu berubah selepas Selcuk dan Mehlika mula bertengkar berpunca daripada perasaan cemburu.
Menurut Merve dan Arda, mereka bergaduh sehingga Mehlika jatuh ke tanah akibat ditolak, sebelum Selcuk menjerit ‘kalau nak mati, mati sama-sama’.
Belum sempat bertindak balas, Mehlika ditarik di bahagian pinggang dan lelaki itu melompat dari tepi tebing bersama-sama, dan mereka mati selepas terjatuh dari ketinggian 25 meter.
Anggota paramedik bergegas ke lokasi kejadian, namun gagal menyelamatkan Selcuk dan Mehlika. Mayat pasangan kekasih itu dibawa ke Hospital Awam Marmara Ereglisi.
Sumber: Daily Star