Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tren ETS tambahan melibatkan laluan Stesen KL Sentral ke Stesen Padang Besar dan Stesen Butterworth ke Stesen KL Sentral sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Artikel Berkaitan: PRU15: Netizen Kecewa Harga Tiket Flight; Tiba-Tiba Naik Menjelang Hari Mengundi
Artikel Berkaitan: PRU15: Dapatkan Berita Penting Terkini Tentang Pilihan Raya Menerusi LUMI News Malaysia
Tren khas Keluarga Malaysia Untuk PRU15
Menurut pengumuman dibuat oleh KTMB, pihaknya bersedia menambah perkhidmatan tren khas Keluarga Malaysia ke Pantai Timur, serta lapan perkhidmatan tren ETS bagi menampung keperluan perjalanan sempena PRU-15 bermula 18 November hingga 20 November ini.
Berikutan itu, KTMB memaklumkan sebanyak 716 tiket akan ditawarkan untuk perkhidmatan tren khas manakala sebanyak 2,520 tiket disediakan bagi perkhidmatan tren ETS dalam tempoh tersebut.
Tren khas akan berlepas pada 3.40 petang (18 November) dari Stesen KL Sentral dan dijangka tiba pada 7.40 pagi (19 November) di Stesen Tumpat, manakala tren dari Stesen Tumpat akan berlepas pada 5.10 petang (20 November) dan tiba pada 11.26 pagi (21 November)
Turut difahamkan, perkhidmatan tren ETS tambahan membabitkan laluan Stesen KL Sentral ke Stesen Padang Besar dan sebaliknya serta laluan dari Stesen Butterworth ke Stesen KL Sentral, turut disediakan bagi tarikh yang sama untuk perjalanan pengundi arah utara.
Inisiatif ini bertujuan memberi kemudahan kepada individu yang akan pulang ke negeri masing-masing, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15, menurut KTMB
Jualan tiket akan mula dibuka bermula jam 2 petang ini. Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB serta boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB untuk maklumat lanjut.
Sumber: Facebooks