Pengumuman Bajet 2023 merupakan berita yang paling ditunggu-tunggu buat rakyat Malaysia, terutamanya yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Walaupun negara sudah pun memasuki fasa peralihan endemik, namun bebannya masih terasa terutamanya buat peniaga-peniaga Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS).
Sebagai usaha untuk menyokong dan memperkasa PMKS, kerajaan melalui Bajet 2023 telah mengumumkan pelbagai inisiatif dan insentif dalam menyokong aktiviti perniagaan khususnya melibatkan PMKS.
Geran ‘one off’
Dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion, kerajaan memberikan geran ‘one-off’ sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat PMKS serta pemandu teksi berdaftar. Bantuan ini memanfaatkan sejuta penerima.
Selain itu, kerajaan juga cakna dengan kadar cukai tinggi yang perlu dibayar oleh pembayar cukai PMKS, oleh itu mulai tahun 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17% kepada 15%.
Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023, pengurangan ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada 150,000 pembayar cukai PMKS.
Dana SemarakNiaga 2023
Bukan itu sahaja, kerajaan juga melaksanakan Dana SemarakNiaga 2023 yang merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM45 bilion.
Bagi tahun hadapan, sejumlah 1.7 bilion ringgit daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil. Antaranya termasuklah:
Pertama
Pinjaman mikro BSN dengan ketersediaan dana RM 950 juta. Ini termasuk RM350 juta untuk Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dengan RM150 juta dikhususkan untuk peniaga Bumiputera;
Kedua
Skim pinjaman kepada pengusaha kecil di bawah TEKUN khusus untuk Bumiputera, wanita, belia dan sektor tidak formal dengan peruntukan RM300 juta.
Ketiga
Kemudahan pinjaman perniagaan khusus kepada kaum Cina dengan ketersediaan dana RM200 juta dan kadar faedah serendah 4%;
Keempat
Dana RM25 juta disediakan untuk kemudahan pinjaman mikro di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI). Selain itu, RM100 juta juga disediakan di bawah MITRA antaranya bagi pembangunan usahawan kaum India
Kelima
Dana RM10 juta untuk Program kewangan sosial iTEKAD dan turut dipadankan bersama dana institusi kewangan melalui sumbangan zakat dan wakaf tunai.
Selain itu, pengecualian duti setem 100% ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman atau pembiayaan sehingga tahun 2024 turut dilaksanakan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesemua bantuan ini telah diperhalusi dan adalah lebih baik berbanding moratorium khas kerana ia hanyalah penyelesaian jangka pendek dan peniaga masih perlu membayar pinjaman.
Beliau berharap, dengan usaha dan sokongan yang dilakukan kerajaan, peniaga akan bangkit semula sekaligus membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Rujukan: