Di Facebook, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meluahkan rasa terkilan apabila pertemuan khas membabitkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sebuah hotel di ibu negara pagi tadi, turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin PH turut hadir
Menurut Ka Siong, beliau menerima notis jemputan menghadiri pertemuan bersama Ahli Parlimen BN itu pada pukul 11.23 semalam, namun jemputan itu tidak memaklumkan ia turut dihadiri beberapa pemimpin PH. Tambah beliau, rasa terkilan itu timbul apabila pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini.
Pagi tadi saya menghadiri perjumpaan Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN pada jam 10 pagi di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Saya menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam semalam mengenai perjumpaan hari ini hanya melibatkan ahli-ahli Parlimen BN. Satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya melibatkan Ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan. Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini.
Saya tidak tahu sama ada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan. Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengahari. Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja.
Ujar Ka Siong lagi, selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, beliau tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH. Tegasnya, apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN.
Sumber: Wee Ka Siong