Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam didakwa lagi di Mahkamah Sesyen, hari ini atas satu pertuduhan merogol seorang remaja berusia 14 tahun.
Ikat jamin RM12k
Menerusi laporan Kosmo, bapa kepada lapan orang anak itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya. Menurut Hakim Tasnim, semua pihak tidak perlu mensensasikan kes tersebut terutama di media sosial. Terdahulu, Fathi didakwa lagi atas satu pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun di sebuah hotel di sini antara pukul 2 pagi hingga 10 pagi pada 3 Disember 2021.
Berikutan daripada itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, sekiranya disabitkan kesalahan. Difahamkan, mangsa dalam kes ini adalah mangsa yang sama seperti pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.
Menurut Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan sebanyak RM15 ribu dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan, pasport diserahkan selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan. Walau bagaimanapun, peguam Muhammad Ashraff memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung tiga isteri serta lapan anak.
Tertuduh juga telah hilang punca pendapatan apabila kontraknya dengan sebuah stesen televisyen telah dibatalkan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan menetapkan syarat-syarat seperti yang dipohon pihak pendakwaan. 17 Januari depan merupakan tarikh sebutan semula kes tersebut.
Sumber: Kosmo