Bekas vokalis kumpulan Lefthanded iaitu Datuk Nashrudin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash memohon orang ramai mendoakan agar dirinya kembali pulih selepas mengalami kekejangan dan sukar bergerak.
‘Kaki tak boleh gerak’
Menerusi perkongsiannya di Facebook, penyanyi berusia 63 tahun ini memberitahu kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam keadaan tergesa-gesa untuk menghadiri dua majlis perkahwinan sejurus pulang dari Sarawak.
Semalam saya balik dari Sarawak terus pergi jemputan perkahwinan anak kawan saya di Mindef KL. Saya datang agak lewat sikit. Sebelah malam pula ada lagi satu jemputan kahwin Aizat di Bandar Sungai Long, Kajang. Itu yang macam nak cepat-cepat siap.
Namun siapa sangka, ketika berwuduk untuk menunaikan solat Maghrib, tiba-tiba sahaja dia mengalami kekejangan sehingga sukar bergerak. Susulan daripada itu, Nash telah meminta bantuan anaknya untuk memapahnya. Selepas selesai menunaikan solat, Nash meminta anak dan menantu menghantarnya ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam.
Saya pun ambik wuduk sambil berdiri dan bila membongkok nak basuh lengan tangan, pinggang saya terus tersentap dan terus tak boleh berdiri tegak. Sakitnya Allah sahaja yang tahu. Seluruh badan saya cramp, kaki tak boleh gerak.
Doktor terus bagi suntikan supaya saya rasa lega. Sekarang ini masih sakit, jalan macam orang umur 90 tahun.
Sehubungan itu, Nash memohon supaya orang ramai mendoakan supaya kesihatannya kembali pulih seperti sediakala.
Sumber: Facebook Dato Nashrudin Elias