Mahkamah Sesyen menolak permohonan menangguh perbicaraan bela diri pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali Bella.
Salah guna proses mahkamah
Menerusi laporan Harian Metro, Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan tersebut adalah penyalahgunaan proses mahkamah. Sebelum ini, pihak pembelaan Siti Bainun membuat permohonan atas alasan perlu menunggu pendengaran semakan notis usul terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi, pada hari Khamis ini.
Ujar Izralizam , pertuduhan terbabit juga tidak cacat dan memprejudiskan tertuduh, justeru dakwaan tertuduh bahawa beliau tidak mempertimbangkan pertuduhan itu tidak berasas dan mengelirukan. Tambah Izralizam, pihak peguam ada meminta penangguhan atas alasan kesihatan tertuduh yang dimasukkan ke wad pada 28 November lalu dan bakal menjalani pembedahan lima hari selepas itu. Walau bagaimanapun, surat bertarikh 2 Disember diserahkan kepada mahkamah tidak memaklumkan mengenai pembedahan yang dilakukan.
Saya memerlukan penjelasan untuk menggunakan budi bicara untuk penangguhan. Tiada dokumen dan sijil cuti sakit (MC) tetapi ada pengesahan surat masuk wad akibat masalah kesihatan. Selanjutnya saya memerlukan dokumen dan penjelasan lanjut daripada peguam, maka prosiding berkaitan itu bersambung jam 2.30 petang ini.
Menurut peguam bela Siti Bainun pula, Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor prosiding perlu ditangguhkan kerana pengasas Rumah Bonda itu perlu menjalani dua pembedahan bulan ini.
Pembedahan membabitkan penyakit paru-paru dan hempedu dijadualkan masing-masing pada kelmarin serta Khamis ini. Namun, tiada pembedahan dilakukan pada kelmarin kerana Siti Bainun diberikan antibiotik akibat saluran pernafasan tersumbat. Saya percaya akan ada tarikh baharu berhubung dua pembedahan itu.
Sumber: Harian Metro