Empat orang ahli kumpulan VE yang bertanding di Gegar Vaganza baru-baru ini iaitu Cham, Adeep Nahar, Fakhiz dan Hakim mengambil keputusan untuk berundur daripada kumpulan tersebut. Menurut Adeep, mereka terpaksa membuat keputusan tersebut kerana enggan memanjangkan isu yang boleh memburukkan nama VE.
Berbesar hati bagi peluang
Saya berterima kasih kepada kumpulan VE kerana mengajak saya menyertai kumpulan ini pada 2018. Saya berterima kasih kepada Zaf, Lah dan Cham. Saya berbesar hati berpeluang menyertai kumpulan ini kerana VE adalah salah satu kumpulan R&B terbaik di Malaysia.
Namun, hari ini, saya mengundurkan diri. Saya juga tidak mahu ada kena mengena langsung dengan VE. Ini kerana saya berdiri atas kaki sendiri selama ini. Saya minta maaf, saya isytiharkan keluar VE, mulai hari ini.
Selain Adeep, Cham, Akim dan Fakhiz turut mengumumkan pengunduran mereka. Ujar Adeep, bukan mudah untuk mereka membuat keputusan tersebut. Ini kerana, mereka mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap VE. Namun, keputusan tetap diambil kerana enggan merosakkan nama kumpulan itu.
Bukan senang nak buat keputusan kerana kasih sayang kami kepada VE sangat tinggi. Dan bukan juga tugasan mudah buat kami membawa nama VE walaupun dihamun dan dimaki. Kami tetap terima sebab hormat kepada salah seorang anggota kumpulan VE yang ada bersama kami.
Namun, kami enggan menjadi racun dalam kumpulan ini. Apa yang terjadi membebankan dan memburukkan saya sebagai anggota VE baharu. Jadi, benda ini tidak seronok. Kami sudah menjadi bapa, berhenti jadi budak-budak. Saya pernah dengar kata Mufti Menk, jangan terlampau rapat dengan seseorang sebab musuh takkan buat seperti mana kawan akan lakukan kepada kita.
Sumber: Berita Harian