Para jemaah berdepan detik cemas selepas menemui kepala khinzir ditinggalkan di atas bumbung sebuah masjid di Britain. Mereka menganggap kejadian tersebut sebagai satu ancaman dan jenayah kebencian terhadap agama Islam, Islamofobia.
Kepala khinzir atas bumbung masjid
Kejadian tersebut hanya disedari ketika para jemaah meninggalkan perhimpunan yang diadakan di bangunan Heatons Muslim Community Trust (HMCT) di Battersea Road, Heaton Mersey, Stockport sekitar jam 9 malam. Ketika itu, salah seorang jemaah terlihat kepala khinzir berada di atas bumbung masjid yang rata dan rendah serta mudah dilihat.
Para jemaah yakin pasti ada individu yang sengaja menimbulkan kekacauan itu atas sebab tertentu memandangkan mereka tahu agama Islam tidak dibenarkan makan daging khinzir atau mengendalikannya dalam apa cara sekali pun. Para jemaah akui, perkara tersebut secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kanak-kanak serta warga emas yang beragama Islam.
Susulan daripada kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan sebuah kereta yang dinaiki tiga individu berhenti di kawasan masjid dan salah seorang daripada mereka membawa beg sampah. Difahamkan, plat pendaftaran kereta itu dirakam dan berharap polis dapat mengesan pelaku dengan segera.
Sumber: Daily Mail, Metro UK