Sebelum ini, tular mengenai kisah seorang wanita yang didakwa diceraikan si suami hanya kerana dirinya terlalu sibuk mengurus dan menjaga anak di wad yang sedang menghidap penyakit barah.
Difahamkan, anak kecil yang dikenali sebagai Ahmad Danial telah kembali ke rahmatullah pada 10 Disember lalu.
‘Kami bersama-sama Ahmad sampai akhir hayat’
Foto: Rosha Wati bersama Allayharham Ahmad & anak perempuan
Namun baru-baru ini, wanita terbabit iaitu Rosha Wati tampil menafikan kisah perceraiannya seperti yang tular di media sosial. Menurut Wati, kisah tersebut mula dimuat naik oleh seorang anggota NGO di laman Facebook sebelum ianya tular dan dikongsikan semula di beberapa platform lain.
Menerusi hantaran tersebut, individu terbabit mendakwa kononnya Wati diceraikan kerana si suami marah isterinya itu meninggalkan rumah terlalu lama sedangkan Wati hanya ke hospital menemani anak yang menghidap barah.
Susulan daripada isu tular itu, Wati tampil menceritakan perkara sebenar. Menurut wanita ini, dia dan suami, Zulkarnain sudah berpisah beberapa bulan lalu dan keputusan tersebut dibuat bukanlah seperti yang didakwa individu terbabit. Tambah Wati lagi, dia tidak menyangka individu terbabit yang disangka mampu membantunya tergamak menokok tambah cerita berhubung kisah rumah tangganya.
Dia berkorban segalanya dalam menjaga Ahmad sepanjang hidup. Berulang alik KL-Penang 2 minggu sekali dengan motorsikal. Orang luar tidak tahu, yang tahu hanya nak kecam. Segala kemahuan dan kehendak Ahmad dipenuhi tanpa alasan. Dia bertanggungjawab terhadap amanah Allah. Kami bersama-sama Ahmad sampai akhir hayat.
‘Benar kami tiada jodoh’
Foto: Zulkarnain bersama Allayharham Ahmad & anak perempuan
Sementara Zulkarnain menerusi satu hantaran di Facebook akui tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan telah menjatuhkan maruah serta memburukkan namanya.
Benar kami tiada jodoh. Sebelum Ahmad lahir lagi rumah tangga kami mula retak atas sebab-sebab tertentu. Masih bertahan sebab anak. Saya sangat cintakan anak-anak saya. Keluarga saya. Apa yang saya buat hanya jiwa kepada keluarga. Saya sediakan segalanya. Walau hakikat saya bekerja 5 kerja dalam satu-satu masa. Saya boleh. Sebab saya hanya fikirkan anak bini.
Tambah Zulkarnain lagi, pada awalnya dia sangat berat hati apabila mendapat tahu Wati mahu membawa anaknya, Allahyarham Ahmad ke hospital di Penang kerana bimbang akan merindui si kecil itu. Namun dia rela dengan keputusan tersebut. Malah Zulkarnain kerap berulang-alik ke Penang menaiki motosikal hanya untuk melawat anaknya.
Tak pernah miss jika mak dia cakap perlukan duit. Kalau tak perlu pun saya akan tanya sehingga habis hayat Ahmad. Sebab saya tahu Ahmad makan macam-macam dan mak dia pun sama. Dalam masa sama saya menjaga kakak Ahmad. Bawa ke tempat kerja. Ke sana sini.
Saya juga ada perancangan 7/8 tahun akan datag untuk keluarga saya. Dan paling banyak impian saya terhadap Ahmad. Kerana dia anak lelaki akan menjaga mak dan kakak dia jika saya pergi dulu.
Namun, Allah SWT lebih menyayangi Ahmad. Zulkarnain akui reda dengan pemergian anak tercinta. Tambah lelaki ini lagi, orang luar tidak tahu apa yang dilalui mereka sekeluarga. Oleh itu, dia meminta supaya tidak pihak mengambil kesempatan dengan menokok tambah cerita berhubung rumah tangganya. Difahamkan, Zulkarnain sudah cuba menghubungi anggota NGO berkenaan untuk memadam hantaran tersebut namun tiada sebarang respon yang diterima. Oleh hal demikian, dia nekad membuat laporan polis.
Sumber: Rosha Wati, Zul Qarnain