Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suaminya sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan kontroversi membabit hukum agama hingga mengundang kekeliruan dalam kalangan warganet.
Susulan daripada isu tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihati pasangan suami isteri ini supaya berhikmah dalam menyampaikan dakwah.
Jakim nasihat guna pendekatan yang sesuai
Menerusi satu kenyataan, Jakim memaklumkan bahawa mereka sentiasa membuat pemantauan kandungan berkaitan hal agama Islam khususnya yang disampaikan melalui platform media sosial. Jakim juga sedia maklum berhubung tindakan Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suaminya yang mengkritik dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan yang menegur mereka.
Semua pihak khususnya golongan yang bergelar sebagai pendakwah adalah dinasihatkan agar sentiasa menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah. Kenyataan yang bersifat kontroversi dan boleh menimbulkan kegusaran awam hendaklah dielakkan.
Tambah Jakim lagi, semua pendakwah di Malaysia terikat dengan pentauliahan di bawah pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri. Oleh itu, setiap perlakuan pendakwha yang bercanggah dengan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa boleh dikenakan tindakan.
Adalah wajar untuk semua pihak mengambil pendekatan sederhana dalam setiap aspek tanpa mengabaikan tuntutan syarak termasuk mengutamakan keharmonian hidup dalam masyarakat.
Terdahulu, Ustazah Siti Afifah bersama suaminya pernah mencetuskan beberapa kontroversi termasuklah melabel suami dayus kerana membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran anak dan membiarkan aurat isteri terdedah sewenang-wenangnya. Ustazah Siti Afifah kemudian menyatakan penggunaan ubat tahan sakit (painkiller) adalah haram dalam syariat Islam.
Sumber: Harian Metro