Foto kredit: Nurraysa.com
Menjelang hari raya, setiap kediaman pastinya ingin kelihatan bersih, selesa dan nyaman terutama buat para tetamu yang bakal berkunjung. Teknik pembersihan rumah yang efektif mampu menjadikan sesebuah kediaman ‘Tip Top’ sekali gus disenangi oleh tetamu.
Di sini, ada beberapa tips pembersihan rumah yang berguna untuk anda supaya suasana hari raya kali lebih meriah dari tahun-tahun sebelumnya.
Ubah suai kedudukan perabot
Foto kredit: Aku Bukan Bidadari
Kedudukan perabot sememangnya mampu menghasilkan suasana yang berbeza buat seseorang. Oleh itu, jika anda tidak mampu menukar perabot yang baharu, anda boleh mengubah suai kedudukannya untuk memberikan impak berbeza terhadap suasana rumah. Alihkan posisi meja makan, set sofa atau pun kabinet. Ruang dapur pun boleh diubah suai ya. Hal ini kerana, susun atur yang baru dapat memberikan aura yang lebih segar buat kediaman anda.
Bersihkan habuk dan sawang
Foto kredit: Beauty Htgetrid
Salah satu tips penting bagi memastikan rumah anda kelihatan kemas adalah dengan membersihkan kawasan yang bersawang seperti siling dan belakang pintu. Bukan itu sahaja, anda juga perlu membersihkan habuk-habuk di atas permukaan perabot seperti almari, kipas, meja, rak dan sebagainya supaya tetamu rasa lebih selesa mengunjungi kediaman anda.
Gunakan pewangi rumah
Foto kredit: PropertyGuru
Jangan lupa juga untuk memastikan kediaman anda berbau harum. Barulah tetamu anda nyaman dan selera kerana rumah tidak berbau hapak. Untuk memastikan kediaman anda sentiasa berbau wangi, gunakan penyembur pewangi ikut kesukaan sendiri yang boleh diletakkan di sekitar ruang tamu rumah supaya mampu memberikan haruman yang segar dalam rumah anda. Inilah yang dikatakan rumah bersih dan wangi.
Cuci karpet
Foto kredit: Sembilan Kita
Jika rumah ada mempunyai karpet, inilah masa yang sesuai buat anda mencucinya. Pada kebiasaannya, karpet rumah tidak kelihatan kotor namun ia mampu memerangkap habuk dan kuman yang banyak tanpa dilihat oleh mata kasar. Oleh sebab itu, cucian pada karpet boleh menjadikan rumah anda dua kali lebih bersih dan segar. Hantar sahaja karpet anda ke dobi untuk dicuci, dijamin puas hati.
Kemas dan susun perkakas dapur
Foto kredit: Amazon
Kawasan dapur dan perkakas dapur juga merupakan zon penting semasa hari raya. Jangan lupa untuk kemas dan susun semula alatan memasak dan segala perkakas yang telah anda gunakan. Barulah sedap mata tetamu memandangnya. Seeloknya, anda susun perkakas tersebut mengikut kategori seperti pinggan mangkuk, sudu garfu, gelas, jug dan lain-lain di satu kawasan tertentu. Hal ini dapat memudahkan kerja anda semasa kunjungan tetamu nanti, dapur pun tak bersepah.