YouTuber popular Korea Selatan, Jay Kim atau nama Islamnya, Daud Kim mencuri perhatian ramai tatkala dia mengerjakan umrah di Tanah Suci, Mekah, baru-baru ini.
Umpama ‘rumah’ saya
Bukan pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Daud Kim memberitahu dia mahu mendekatkan diri kepada Allah. Tambah Daud, Islam adalah agama yang selama ini dicarinya. Justeru, dia berasa sangat bersyukur terpilih diberi hidayah daripada-Nya.
Saya jejakkan ke Mekah sekali lagi. Tempat ini umpama ‘rumah’ saya. Sangat menenangkan jiwa dan suci. Sebelum ini, kehidupan saya sangat teruk. Saya ingatkan diri ini orang yang paling tidak bertuah dalam dunia. Jadi, saya mencari-cari jalan kebenaran dan sentiasa cari jawapan sebenar. Saya akhirnya sedar, saya bukan keseorangan. Seseorang berada di samping saya membawa saya ke jalan benar. Saya dah sedar kewujudan Allah SWT. Islam beri saya jawapan terhadap segala persoalan yang bermain di minda selama ini.
Jawapan mengapa saya dicipta, mengapa saya hidup. Dan akhirnya nanti, ke mana saya akan pergi selepas mati. Saya masih buat dosa (silap) namun sekarang, saya seorang Muslim. Saya tidak akan berputus asa memohon keampunan daripada Allah SWT. Iman saya tidak akan pernah berubah, insya-Allah. Semoga ampunkan segala dosa saya dan bimbing saya ke jalan yang benar. Doa saya buat mereka yang memerlukan bantuan. Moga Allah SWT berkati hidup semua umat Islam. Sehingga kita berjumpa nanti di Jannah.
Terdahulu, Daud dilihat aktif berkongsi perjalanan perubahan rohaninya menerusi platform media sosial termasuk Instagram selepas pulang daripada menunaikan umrah buat pertama kali pada bulan April tahun lalu.
Sumber: Daud Kim