Usahawan yang mesra dengan panggilan Sis Bell pernah terpalit dengan kontroversi baru-baru ini apabila video ‘merenjis’ air kereta baharu dibelinya disifatkan kononnya seperti amalan bidaah dan syirik tular di aplikasi TikTok.
Jahil ilmu agama
Bagaimanapun, ahli perniagaan produk kecantikan jenama Beautyspells, Norsidayati Mustari dari Tawau, Sabah itu enggan larut dan memanjangkan perkara tersebut.
Takkan belum habis lagi cerita ‘renjis’ air di kereta itu. Sana sini komen sampai keluarga di pelbagai kumpulan sembang di Facebook. Sampai ada yang cakap ia amalan syikin… bidaah.
Saya memahami apa yang dipaparkan dalam video itu mengundang kecaman dan jatuh salah untuk segelintir orang. Saya bagaimanapun memohon maaf kerana tak berniat apa-apa. Saya akui jahil ilmu agama.
Tujuan buat begitupun kerana air yang disiram hasil bacaan, doa dan selawat dari seorang ustaz. Ia bersempena dapat kereta baharu. Ini kerana kereta lama saya berdepan kemalangan sebelum ini. Saya menyiram air sebenarnya bukan merenjis.
Bagi wanita berusia 33 tahun ini, misi untuk menggegarkan Borneo dan membangkitkan semangat berniaga menerusi rangkaian jenamanya lebih penting berbanding hal lain.
Kaya sendiri?
Sis Bell juga mahu menepis wujudnya situasi pengasas atau pemilik produk ‘memijak’ ejen demi kaya seorang diri.
Sehingga kini, sudah 16,000 ejen di Borneo dibantunya. 99 persen daripadanya di kalangan ejen wanita dan selebihnya lelaki sekitar 30 orang.
Tiada istilah saya ‘pijak’ ejen untuk hidup kaya. Atau wujud senario ejen yang selama ini memberi kekayaan kepada saya. Tapi saya mahu buktikan, jika boleh kaya beramai-ramai atau ‘berjemaah’ kenapa perlu kaya sendirian.
Malah, saya sama sekali mahu membangkitkan semangat semua orang Borneo untuk berusaha ke arah kehidupan yang selesa. Saya mahu memimpin tangan untuk berjaya dan kaya sama-sama.
Katanya lagi, jenama yang berpangkalan di Sabah dan mengetengahkan tagline ‘Semangat Bangkit Semakin Berjaya’ itu sudah membantu ramai masyarakat Borneo untuk meningkatkan taraf hidup.
Ada ‘reseller’ saya yang dulu tinggal atas jambatan, tapi sekarang sudah mampu memiliki tanah dan membangunkan rumah. Ada ejen saya yang tak tahu membaca dan menulis selain tak pandai guna media sosial, kini hidup berjaya dengan bantuan kami.
Jadi saya tekankan, memang tak ada istilah saya kaya seorang diri. Selagi boleh bantu, saya tidak akan lokek berkongsi rezeki dan nikmat. Bahkan staf dan ejen umpama keluarga baharu saya. Impian dan kejayaan mereka, nikmat terindah buat saya.
Tahun lalu ada ejen saya berjaya capai RM2.8 juta jualan setahun. Malah tahun lalu ada lima ejen saya dapat jualan RM1 juta setahun. Empat daripada mereka perempuan dan seorang lelaki. Tahun ini saya sasar mahu 15 ejen pula dapat sasaran sejuta setahun.
Bagi ganjaran dekat ejen
Dalam masa sama, jenama ini buat kali kedua akan menganjurkan Beautyspells Success Night di tiga lokasi dan tarikh berbeza.
Kos acara membabitkan tiga lokasi dan tarikh masing-masing di Tawau (26 Februari), 1 Mac ( Sandakan) dan Kota Kinabalu (3 Mac) ini menelan kos RM1.2 juta.
Saya buat di tiga lokasi berbeza ini bagi memudahkan ejen yang datang dari latar belakang berbeza. Ada yang kali pertama nak masuk hotel dan beli tiket penerbangan.
400 penerima (ejen) akan diraikan dan menerima ganjaran emas berjumlah keseluruhan RM380,000 serta wang tunai RM510,000 yang dihias dalam bentuk jambangan bunga. Ia jambangan bunga wang betul dan bukan palsu seperti digembar-gemburkan sebelum ini.
Tahun ini, jenama berkenaan turut mensasarkan untuk menjual 500,000 unit losyen.
Tahun lalu terjual 200,000 unit. Harga dijual dalam dua saiz. Botol kecil dengan berat 100 mililiter (ml) dijual pada harga RM39, manakala besar (500 ml) RM110.
Sumber: Instagram