Pelakon dan penerbit, Bront Palarae menerusi satu sesi temu bual bersama OhBulan! berkata, jumlah pengikut di media sosial bukanlah syarat utama untuk membuktikan kejayaan seseorang pelakon.
Bukan bergantung jumlah pengikut
Menurut Bront, kekuatan serta tularnya sebuah naskhah yang baik bukanlah bergantung kepada jumlah pengikut pelakon di laman sosial tetapi keserasian watak serta gaya lakonan yang meyakinkan.
Kenapalah sebelum ini kita percaya jumlah pengikut di laman sosial lebih penting daripada kesesuaian bakat?
Kita juga tak faham cara pihak atasan berfikir sebab bila tengok semula, teori pelakon kena ada jumlah pengikut yang banyak pun tidak berjaya juga. Drama tak laku juga.
Sebelum ini kita mengharapkan agar ada sebuah projek yang boleh meyakinkan mereka (pihak atasan). Bila tengok ‘Projek High Council’ berjaya, kita rasa gembira.
Tambah Bront, sambutan hangat penonton yang membanjiri KLCC semasa sesi berjumpa peminat baru-baru ini, diharap dapat membuka mata para penerbit agar tidak lagi meletakkan syarat yang berat sebelah dalam pemilihan pelakon.
Apa yang penting ialah sudut penceritaan dan gaya lakon yang meyakinkan. Ia dapat dibuktikan dengan sambutan penonton yang membanjiri KLCC. Sudah seperti fenomena Ada Apa Dengan Cinta.
Fenomena ini diharap dapat membuka mata penerbit untuk melihat keserasian memainkan watak itu lebih penting daripada pengikut di laman sosial. Sebab akhirnya nanti, kalau berlakon hebat, pengikut akan bertambah juga di laman sosial.
Bront berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem ‘Rajah’.
Buat pengetahuan korang, filem ‘Rajah’ bakal menemui penonton di pawagam mulai hari ini. Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat daripada beberapa buah negara termasuk Dominic Monaghan dari British, Atiqah Hasiholan dari Indonesia, Josie Ho dari Hong Kong dan Hannah New dari United Kingdom.
Video
@ohbulanofficial Followers ramai tapi berlakon kayu keras batu pun tak onzz! #ohbulan #fyp #sembangentertainment #brontpalarae #lakonan #lebih #penting #daripada #followers