Sekadar gambar hiasan
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan situasi yang dilalui wanita ini apabila suami tercinta pergi buat selama-lamanya akibat lemas.
Suami meninggal pada hari jadi
Selipang Sajan, isteri mangsa
Mayat mangsa, Jerry Juli berusia 33 tahun ditemui di dasar lombong berkeluasan 0.4 hektar di Jalan Solok Menggong, Machap Umboo semalam sekitar jam 9:17 pagi selepas dilaporkan hilang sejak 5 petang kelmarin. Menurut isteri mangsa iaitu Selipang Sajan, dia bersama dua anak dan dua adik iparnya telah mengikut mendiang ke lombong untuk menangkap ikan air tawar.
Selepas siap memasang jaring, saya nampak dia (suami) seperti hendak naik ke darat sebelum melompat dan menyelam. Saya ingat suami bergurau kerana dia sememangnya mampu menyelam agak lama di dalam air.
Namun, selepas beberapa minit dia tidak muncul menyebabkan kami pelik dan berusaha mencarinya dan menghubungi talian kecemasan untuk bantuan.
Selipang akui sedih dengan kejadian itu lebih-lebih lagi mereka sekeluarga masih bersedih dengan kematian kakak iparnya dua minggu lalu dan kini terpaksa menerima hakikat pemergian suaminya pula.
Hari ini (semalam) hari jadi dia, betul-betul satu kejutan bagi saya kehilangan suami.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro