Di Tumpat, Kelantan, seorang wanita kurang upaya berkata suapan ibu mentua berjaya mengubat kerinduannya terhadap suapan tangan ibu kandung sendiri.
Rasa hiba
Suapan pertama ma (ibu mentua) berjaya mengubat kerinduan saya pada suapan tangan mek (ibu kandung) sejak mek meninggal dunia.
Menurut Zauyah Deraman, 37, kisahnya menjadi viral selepas suami, Mohd Abdul Rahman memuat naik video di Tiktok. Ujar Zauyah, ibu mentuanya, Halijah Awang sedang menyuap nasi kepada dirinya ketika berbuka puasa pada Ramadan ke-11 yang lalu.
Zauyah yang mengalami kecacatan pada kedua belah tangan dan kaki iaitu bengkok serta kecil sejak dilahirkan berkata, dia sangat merindui ibu kandungnya pada waktu itu. Lebih-lebih lagi, tahun ini merupakan tahun pertama tanpa ibu tersayang.
Menerusi laporan Harian Metro, Zauyah dan suami baru tiga minggu melayari bahtera perkahwinan. Ibu Zauyah meninggal dunia pada 3 Februari lalu.
Pemergian ibu memberi kesan mendalam kepada saya kerana kami tinggal berdua dan tidak pernah berpisah. Setiap kali makan, ibu akan gaulkan nasi, cubitkan lauk ikan untuk saya.
Paling dirindui ketika ibu menyuap nasi biarpun saya boleh makan dengan tangan sendiri. Arwah memang selalu melayan saya begitu.
Tetapi saya tak sangka kehilangan ibu digantikan dengan kehadiran suami. Saya masih berpeluang mendapat kasih sayang seorang ibu (mentua) yang menerima dan melayan saya seperti anak sendiri.
Malah, tak sangka ibu mentua juga tolong mengisi nasi dan lauk pada pinggan saya ketika berbuka puasa. Ia sama seperti dilakukan ibu kandung dahulu.
Saya sebak dengan tindakan ma dan sebaik nasi masuk ke mulut saya terus menangis. Suami, ma dan semua ahli keluarga mentua menerima saya dengan baik walaupun diri ini tidak sempurna.
Sumber: Harian Metro