Penyanyi rap terkenal Malaysia, Joe Flizzow mendedahkan bahawa sekiranya diberi pilihan, dia mungkin tidak akan menyertai pertandingan nyanyian, Anugerah Juara Lagu (AJL) bagi edisi yang akan datang.
Artikel Berkaitan: Joe Flizzow ‘Sunyi’ Di New York
Sudah tidak relevan
Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak berpendapat bahawa AJL yang diadakan setiap tahun sudah tidak relevan dan hanya membuatkan industri hiburan di Malaysia semakin mundur.
Ini kerana, Joe menjelaskan pertandingan AJL yagn dibuat sekitar 80-an itu pada awalnya dibuat sebuah stesen televisyen adalah untuk menyaingi serta mengalahkan rating pertandingan nyanyian lain, Bintang RTM yang popular pada waktu itu.
Pada saya, ia diibaratkan seperti saya minta kamu untuk pergi ke sebuah galeri lukisan dan saya minta kamu untuk senaraikan rating lukisan mana yang paling bagus dan mana yang tidak bagus. Macam mana kamu boleh tentukan itu?
Tetapi mereka (AJL) ada cara untuk menentukan pemenang pada malam final tetapi saya tidak tahu bagaimana mereka lakukannya. Sejujurnya, saya juga tidak tahu mengapa saya menang AJL.
Bagi kebanyakan orang, AJL diibaratkan seperti pertandingan bola sepak, World Cup tetapi pada saya ia hanyalah hari Ahad yang biasa. Saya tak pernah memahami konsep pertandingan nyanyian ini. Selepas 30 tahun, adakah ia masih relevan?
Namun, apabila ditanya kenapa AJL ini perlu diteruskan, jawapan yang diterima adalah ianya untuk penulis lagu. Kalau betul ianya untuk penulis lagu, kenapa tidak hanya mainkan lagu ketika malam pertandingan?
Pada saya tidak perlu untuk setiap penyanyi itu untuk bertanding menentang satu sama lain. Lagu itu sudah siap dan sudah diterbitkan.
Joe memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui OhBulan! sewaktu sesi sidang media konsert Joe Flizzow, This Is Johan Live In Concert, di Le Meridien Petaling Jaya, semalam.
Pelantun lagu Apa Khabar itu turut mempertikaikan kaedah yang dilakukan untuk mengadili penyanyi yang bertanding serta kreadibiliti juri yang dilantik.
Saya mempertimbangkan supaya mereka cari idea baru untuk buat kerana ia tidak relevan. Awak mana boleh nak bandingkan seorang penyanyi dengan penyanyi lain, penyanyi ini bagus daripada penyanyi lain. Siapa anda untuk mengatakan sebegitu?
AJL mengumpulkan banyak penyanyi dan para juri akan mengadili mereka dan ada juri yang tidak pernah mempunyai satu pun lagu hit yang dihasilkan dalam hidup mereka. Jadi siapa mereka untuk cakap seseorang artis itu lebih baik? Ia sangat tidak relevan dan membuatkan industri kita mundur ke belakang.
Sebab itulah penyanyi otai sudah tidak mahu bertanding dalam pertandingan nyanyian seperti itu. Sebab kalau menang pun mereka akan rasa bersalah, kalau tak menang macam dah tak bagus pula. Dan boleh saya katakan, saya sudah tawar hati.
Dedah pernah tolak ketika bersama Too Phat
Dalam pada itu, Joe mengakui pernah menolak pelawaan pihak AJL untuk mencalonkan lagu Alhamdulillah ketika lagu tersebut menjadi hit bersama-sama Too Phat suatu ketika dahulu.
Waktu itu mereka kata lagu Alhamdulillah ada peluang sangat besar untuk menang AJL kerana ia lagu hit pada masa itu. Mereka minta untuk kami masuk bertanding AJL.
Saya kata ‘tidak’ kerana kami bukan penyanyi malam kebudayaan.
Untuk info, konsert This Is Johan Live In Concert tersebut akan diadakan di JioSpace, Petaling Jaya pada 15 Julai ini pada jam 8.30 malam.
Anda boleh buat pembelian tiket di www.jiotix.asia bermula 12 Mei ini.