Seorang murid berusia 11 tahun mendakwa telah dirotan oleh guru besar di salah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Jementah, Segamat, Johor sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian muka dan badannya.
Artikel Berkaitan: Murid Darjah 1 Didakwa Dikurung Guru Dalam Jeriji Besi Bersama Kotak Elektrik, Menteri Jalankan Siasatan
Artikel Berkaitan: Penderaan Ibu Tiri Terbongkar, Didakwa Pukul Anak Kerana Tak Faham Pembelajaran
Tak siap kerja & sikap sambil lewa
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata laporan berkenaan insiden itu diterima pihaknya pada jam 11 malam Selasa menerusi akaun Facebook Polis Daerah Segamat.
Pihak polis kemudian meminta mangsa yang juga merupakan murid Tahun Lima itu untuk hadir ke balai polis bagi membuat laporan susulan kejadian berkenaan.
Pada jam 12.10 pagi (Rabu), satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa mengatakan anaknya yang merupakan pelajar Tahun Lima sekolah itu mengalami cedera pada bahagian leher kiri, bahu kiri dan calar di muka akibat dirotan seorang guru besar wanita berusia 50-an.
Siasatan awal mendapati pelajar itu telah dirotan oleh guru berkenaan disebabkan mangsa gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran di sekolah.
Susulan itu, keterangan guru besar tersebut telah diambil oleh pihak polis bagi membantu siasatan dengan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zamry menasihati agar orang ramai tidak mencetuskan sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.
Sumber: Buletin TV3