Berang anak perempuan keluar bekerja tanpa kebenaran, seorang lelaki bertindak memukul anaknya menggunakan rotan di Kampung Melayu Raya, Segamat, kelmarin.
Bapa sebat anak
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima laporan daripada seorang gadis berusia 20 tahun yang memaklumkan bahawa dia mengalami kecederaan yang agak teruk selepas dipukul menggunakan rotan berukuran kecil.
Susulan daripada laporan tersebut, suspek yang berusia 45 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Ketika kejadian mangsa berada di rumah sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba bertindak merotan mangsa lebih 10 sebatan di betis, peha dan siku menggunakan rotan.
Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana tidak puas hati mangsa mengikut saudaranya bekerja sebagai jurujual di Sungai Buloh tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dulu.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dicederakan.
Suspek yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan curi dan menyamar sebagai penjawat awam direman tiga hari bermula semalam.
Sumber: Harian Metro