Baru-baru ini tular satu video memaparkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat melepuk kepala seorang wanita muda dengan menggunakan kertas di hadapan sebuah rumah.
Artikel Berkaitan: MB Kedah Ditahan Polis
Sanusi pertahan diri
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tampil mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa tindakannya itu hanyalah sekadar gurauan yang dilakukan terhadap gadis tersebut.
Memetik laporan MalaysiaKini, Sanusi memaklumkan bahawa gurauannya itu adalah sebagai salah satu cara untuk menegur gadis tersebut yang lewat menghantar permohonan bantuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Melawak dengan anak-anak, lagu tu lah cara kami kat kampung ni melawak. Anak tu nak masuk politeknik esok hari Ahad.
Pada hari tu baru bagi surat minta sumbangan. Kena lepuk lah tapi tetap bagi juga RM650 untuk beli barang dia masuk politeknik.
Sanusi turut memaklumkan bahawa beliau hanya memukul pelajar terbabit dengan sehelai kertas dan bukannya menggunakan kayu.
Terdahulu, video yang berdurasi kira-kira 18 saat itu menjadi tular dan meraih perhatian ramai yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cara gurauan Menteri Besar Kedah itu.
Mereka berpendapat, Muhammad Sanusi perlu menjaga adab ketika bergurau dan menunjukkan sikap yang lebih baik ketika berhadapan dengan rakyat.
Sumber: MalaysiaKini