Pelakon Shaheizy Sam menyelar kenyataan yang dikeluarkan seorang selebriti popular yang didakwa mempertikaikan strategi pejuang Hamas.
Menurut Sam, individu tersebut lebih baik tidak membuka mulut dan memberi sebarang ulasan sekiranya tidak mengetahui mengenai konflik peperangan yang sedang berlaku di antara bumi Palestin dan Israel.
Artikel Berkaitan: Filem ‘La Luna’ Angkat Tema Cinta & Perubahan Masa
Patut bersikap lebih sensitif
Ujar Sam, sebagai individu beragama Islam, individu tersebut seharusnya cakna, bersikap lebih sensitif dan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saudara Islam di Palestin.
Tindakannya yang ingin menunjukkan dia tahu konflik yang sedang berlaku di negara itu sudah okey, tetapi kadang-kadang sebelum kita cakap kita perlu mengingatkan diri.
Kalau tak tahu apa yang sedang terjadi di sana, lebih baik diam sebab dia pun tiada di sana bagi menceritakan situasi yang sedang berlaku.
Bagi saya dalam hal ini tak perlu fikir mengenai sejarah peperangan tetapi jika anda rasa anda Islam sekurang-kurangnya ingatlah kepada saudara seagama di sana. Beri sepenuh sokongan kepada mereka.
Sam yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem La Luna, Selasa lalu, turut meluahkan rasa kecewa apabila melihat kekejaman yang dilakukan oleh tentera zionis Israel terhadap masyarakat di Palestin.
Berikutan daripada itu, dia mengajak orang ramai untuk memboikot sebarang jenama produk yang terbukti menyalurkan duit kepada negara tersebut bagi melakukan kebinasaan.
Saya sendiri berusaha untuk boikot barangan yang ada jika didapati syarikat itu menyalurkan sumbangan kepada tentera zionis secara langsung atau tidak.
Ada syarikat yang tidak mengeluarkan sumbangan kepada mereka, tetapi membayar royalti kepada sesebuah jenama itu. Jadi jika saya dengar duit itu untuk melakukan kebinasaan saya akan berhenti membeli produk terbabit.
Saya juga ada pautan artikel syarikat-syarikat yang menyalurkan duit terus kepada zionis Israel dan selalu kongsikan di media sosial.
Kita sebagai manusia selalu terlepas pandang perkara ini apabila mengatakan kita saja yang boikot, tapi negara lain tidak.
Bagi saya, jangan fikir mengenai apa negara lain buat, sebaliknya fikir mengenai nilai kemanusiaan. Lebih baik boikot daripada tak buat apa-apa.