Empat beradik dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah, Kampung Gajah pada Khamis.
4 beradik ditinggal di pondok pengawal
Susulan daripada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan kepada pihak polis berhubung kejadian terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Hafezul Helmi Hamzah, kejadian itu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dan dua adik lelaki mereka masing-masing berusia 3 tahun dan 10 bulan.
Hasil pertanyaan ke atas kanak-kanak berusia 11 tahun (dia mendakwa) mereka telah dihalau dari sebuah rumah dekat Bota sebelum dihantar ke kompleks berkenaan menaiki kereta bersama wanita tidak dikenali.
Pihak polis turut menemui bungkusan plastik berisi susu dan lampin pakai buang yang ditinggalkan bersama mereka.
Keempat-empat mangsa kini telah dibawa ke Rumah Perlindungan Gopeng dan siasatan berhubung kes ini termasuk mengesan ibu bapa, penjaga atau waris masih dijalankan.
Sementara itu, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hanif Dzulkifli di talian 012-6477452.
Sumber: Sinar Harian